BATU PAHAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa harga rumah yang mahal di Johor berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik untuk rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Johor ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) masih mengetepikan hal-hal kebajikan berkaitan kepentingan rakyat.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan diterajui PH sudah melakukan banyak projek pembangunan di Johor, namun rumah untuk pegawai kerajaan, polis, tentera dan pekerja masih tidak mencukupi.

“Kerajaan Persekutuan sudah jaga banyak projek pembangunan di Johor, tetapi saya tengok rumah untuk pegawai kerajaan, polis, tentera dan pekerja masih tidak mencukupi.
“Pembangunan naik berbilion ringgit, tetapi rumah rakyat mahal. Ini kerja negeri, negeri tak buat jadi saya mesti campur minta kerajaan negeri sama (sealiran) PH supaya kita boleh bangunkan rumah rakyat,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada program ‘Yok Sarap!’ bersama calon PH di sebuah kedai kopi di Medan, Pekan Senggarang, di sini, pagi tadi.
Hadir sama, Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil dan tiga calon PH di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Onn Abu Bakar (Senggarang), Mohamad Yazid Bakri (Rengit) dan Felicia Poh (Penggaram).

Anwar berkata, kerajaan negeri yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan akan memudahkan usaha membangunkan lebih banyak rumah mampu milik dan memperkukuhkan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, pelbagai bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA telah disalurkan kerajaan tanpa mengira fahaman politik, namun pentadbiran negeri juga perlu memainkan peranan dalam menjaga kebajikan rakyat.
“Kita hormat hak rakyat. Orang susah kena bantu, makan kurang kena bantu dan tak perlu beratur atau dengar ucapan baru dapat bantuan.
“Kita kena ajar cara mentadbir negeri supaya lebih teratur dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Johor merupakan negeri yang kaya dan kemakmuran itu perlu dinikmati rakyat secara menyeluruh, bukannya hanya menguntungkan segelintir pihak.
“Johor negeri kaya. Tak mahu beberapa orang sahaja jadi kaya, tetapi rakyat ramai masih susah.
“Sebab itu negeri ini kena sealiran dengan Kerajaan Persekutuan. Pakatan Harapan mesti diberi peluang mentadbir supaya kita boleh bawa perubahan,” katanya. – MalaysiaGazette

















kalau bab kencing no 1