Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.

KUALA LUMPUR – Pasukan bola tampar kebangsaan Malaysia pada masa ini belum mempunyai kedudukan rasmi di peringkat Asia dan dunia kerana penyertaan negara yang masih terbatas.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, faktor itu disebabkan ranking badan induk antarabangsa dan benua bagi sukan bola tampar lazimnya ditentukan berdasarkan penyertaan dan pencapaian pasukan kebangsaan dalam kejohanan rasmi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan Asia secara konsisten.

“Prestasi pasukan bola tampar negara belum setanding dengan negara lain di peringkat Asia Tenggara dan Asia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kekurangan pendedahan pertandingan berintensiti tinggi.

“Kedua, tahap pertandingan domestik yang perlu dipertingkatkan; sistem pembangunan dan liga profesional negara pesaing yang lebih matang dan kelebihan faktor fizikal serta saiz kumpulan bakat di negara-negara pesaing,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang meminta menyatakan kedudukan dan sasaran masa depan pasukan bola tampar negara di peringkat Asia dan dunia.

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq berkata, dalam usaha untuk mengangkat sukan bola tampar, kementerian bersama Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) dalam perancangan untuk melaksanakan pelan tindakan strategik bagi membangunkan sukan bola tampar negara.

Antaranya kata beliau, memperkasakan kerjasama yang erat bersama Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Kementerian Pendidikan dan Persatuan Bola Tampar dilaksanakan secara bersepadu.

“Yang kedua adalah memperbanyakkan lagi kejohanan yang kompetitif dalam negara supaya atlet boleh memperoleh pengalaman pertandingan dan konsistensi prestasi jangka panjang.

“Selain itu, meningkatkan kualiti kejurulatihan dan pegawai teknikal melalui pendedahan kepada latihan moden serta kerjasama teknikal dengan negara yang lebih maju dalam sukan bola tampar di Asia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast