Naib Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat, Rodziah Ismail
Rodziah merupakan wakil rakyat kerajaan ketiga yang dinafikan hak untuk menguruskan peruntukan kawasan Parlimennya selepas  Chean Chung dan Wong Chen.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes yang dirujuk kepada Pusat Krisis Sehenti (One Stop Crisis Centre – OSCC) meningkat kepada 12,906 kes pada 2025 berbanding 9,652 kes pada 2020 menunjukkan isu keganasan dan penderaan semakin membimbangkan.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat, Rodziah Ismail berkata, peningkatan itu menunjukkan OSCC bukan lagi sekadar perkhidmatan rawatan di hospital, sebaliknya merupakan sistem perlindungan rentas agensi yang melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi berkaitan.

Rodziah berkata demikian ketika memberi penerangan berhubung Penyata Jawatankuasa mengenai Penambahbaikan Perkhidmatan Bersepadu OSCC di Malaysia yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan penelitian jawatankuasa, penderaan fizikal masih menjadi kategori kes paling dominan, namun peningkatan kes penderaan seksual perlu diberi perhatian serius.

“Jumlah kes penderaan seksual meningkat daripada 2,699 kes pada 2020 kepada 4,258 kes pada 2025. Ini menunjukkan sistem perlindungan, pengesanan awal dan intervensi terhadap mangsa keganasan seksual perlu diperkukuhkan dengan segera,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, golongan wanita dan kanak-kanak perempuan kekal menjadi kumpulan paling terdedah apabila data 2025 merekodkan sebanyak 10,176 kes membabitkan mangsa perempuan berbanding 2,730 kes melibatkan mangsa lelaki.

Bagi kes penderaan seksual pula, mangsa perempuan mencatatkan 3,852 kes berbanding 406 kes melibatkan mangsa lelaki.

Dalam pada itu, jawatankuasa mendapati keganasan rumah tangga menjadi komponen terbesar dalam kes OSCC dengan 7,689 kes pada 2025, iaitu hampir 60 peratus daripada keseluruhan kes yang dirujuk.

Daripada jumlah itu, sebahagian besar kes membabitkan keganasan fizikal dengan hubungan pelaku dan mangsa menunjukkan kategori tertinggi ialah suami atau isteri sebanyak 4,191 kes atau lebih 54 peratus daripada keseluruhan kes keganasan rumah tangga.

“Ini menunjukkan rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat dalam banyak keadaan telah menjadi lokasi utama berlakunya keganasan. Ancaman kepada mangsa sering datang daripada individu paling hampir dengan mereka sendiri,” katanya.

Hasil libat urus bersama KKM, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), PDRM serta JKM, jawatankuasa turut mengenal pasti beberapa kelemahan dalam pelaksanaan OSCC.

Antaranya kelewatan dan ketidakseragaman respons PDRM dalam mengendalikan kes OSCC, termasuk kelewatan kehadiran pegawai polis ke hospital, kekeliruan kes rentas daerah atau negeri, serta kelemahan kefahaman sebahagian anggota barisan hadapan terhadap prosedur pengendalian mangsa keganasan seksual.

Jawatankuasa turut mendapati kesinambungan perlindungan mangsa selepas rawatan hospital masih lemah, khususnya respons JKM selepas waktu pejabat, hujung minggu dan cuti umum.

Menurut beliau, dalam beberapa keadaan mangsa atau kanak-kanak terpaksa berada terlalu lama di hospital kerana urusan perlindungan, penempatan sementara atau tindakan Pelindung belum dapat diselesaikan segera.

Sehubungan itu, jawatankuasa mengemukakan 10 syor utama bagi memperkukuhkan perkhidmatan OSCC termasuk meminta Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan tahunan bagi operasi OSCC meliputi latihan, sokongan psikososial, pengurusan kes serta penyelarasan antara agensi.

Selain itu, Kementerian Ekonomi disaran menyediakan peruntukan pembangunan khusus bagi menaik taraf infrastruktur OSCC termasuk ruang pemeriksaan, bilik temu bual, kemudahan mesra mangsa serta kelengkapan forensik klinikal.

Jawatankuasa turut mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewujudkan perjawatan khusus berkaitan pengurusan OSCC di agensi utama seperti KKM, JKM dan PDRM bagi mengatasi isu kekurangan pegawai terlatih serta pertukaran pegawai yang kerap.

Bagi PDRM, jawatankuasa mencadangkan pelantikan pegawai penyelaras OSCC di setiap daerah, penetapan garis masa maksimum kehadiran pegawai polis ke OSCC selepas laporan dibuat serta pengukuhan latihan berkaitan keganasan seksual, keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak.

Selain itu, KPWKM dan JKM disaran menambah bilangan Pegawai Pelindung, mewujudkan mekanisme pengurusan kes OSCC di luar waktu bekerja serta menyusun semula penempatan pegawai berdasarkan beban kes sebenar.

Beliau berkata, keberkesanan OSCC tidak boleh diukur hanya berdasarkan kewujudan perkhidmatan di hospital, sebaliknya sejauh mana mangsa menerima rawatan segera, pemeriksaan forensik terjamin, perlindungan pantas, sokongan psikososial berterusan dan akses kepada keadilan tanpa trauma berulang.

“OSCC ialah barisan hadapan negara dalam melindungi mangsa keganasan. Namun, ia hanya akan berkesan sekiranya KKM, PDRM, JKM dan agensi berkaitan bergerak sebagai satu sistem yang terselaras, bukan secara berasingan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast