Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melaksanakan reformasi menyeluruh industri padi negara dan tidak hanya bergantung kepada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026.

Ia sebaliknya memberi tumpuan membanteras kartel serta meningkatkan pendapatan pesawah yang semakin terhimpit, kata Kapten (B) Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjung Karang).

Menurut beliau, hukuman lebih berat sehingga RM1 juta seharusnya disasarkan kepada kartel, syarikat besar serta pihak yang memanipulasi pasaran beras, bukannya pesawah dan peruncit kecil yang sekian lama bergelut dengan peningkatan kos pengeluaran.

Kerajaan perlu menggunakan sistem jejak digital bagi mengesan pergerakan beras dari sawah hingga ke premis jualan bagi membanteras kegiatan mencampurkan beras tempatan dengan beras import, menyorok bekalan serta memanipulasi pasaran.

“Jika ada pihak yang mencampurkan beras tempatan dan import, menyorok bekalan atau memanipulasi pasaran, tindakan paling tegas mesti diambil tanpa kompromi.

“Jangan hanya naikkan hukuman kepada pesawah dan peruncit kecil tetapi biarkan kartel terus mengaut keuntungan,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat hari ini.

Zulkafperi berkata, pindaan undang-undang semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya kerajaan gagal menangani isu sebenar yang membelenggu pesawah termasuk kenaikan harga benih, baja, racun, upah dan kos tenaga kerja yang terus meningkat, sedangkan pendapatan mereka tidak berubah.

Keadaan itu menyebabkan semakin ramai anak pesawah enggan mewarisi pekerjaan keluarga kerana sektor tersebut tidak lagi mampu menjamin kehidupan yang baik.

“Pesawah bukan sekadar pengeluar makanan. Mereka ialah penjaga sawah, penjaga sistem pengairan dan benteng ekonomi luar bandar.

“Kalau pesawah pupus, sawah akan bertukar menjadi hutan konkrit. Apabila sawah sudah hilang, kita tidak mungkin mampu menggantikannya lagi,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan mengkaji semula harga belian padi mengikut kos pengeluaran semasa, mempercepatkan bantuan benih, baja dan mekanisasi serta memperluaskan penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

Menurutnya, kejayaan pindaan akta itu tidak boleh diukur melalui jumlah denda atau ketebalan undang-undang semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keberkesanan penguatkuasaan, pembanterasan kartel, peningkatan pendapatan pesawah serta keupayaan negara mencapai keterjaminan bekalan beras pada masa depan.

“Pindaan ini mesti menjadi titik permulaan kepada reformasi sebenar industri padi negara, bukan sekadar pindaan seksyen demi seksyen di atas kertas,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast