BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengorak langkah ke hadapan dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa apabila menerima dua aset strategik pertahanan negara bernilai tinggi menerusi rakan industrinya, Aerospace Technology Systems Corporation (ATSC) Sdn. Bhd.
Dua aset berkenaan, iaitu System Integration Bench (SIB) dan Human Machine Interface (HMI), kini ditempatkan secara rasmi di pusat kolaborasi industri UTHM, UTHM-ATSC Integrated Engineering Centre (UAC).
Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, penempatan kedua-dua aset itu menjadikan UTHM sebagai universiti pertama yang menerima aset pertahanan strategik negara bernilai tinggi.
”Aset-aset ini bakal memainkan peranan penting dalam memperkasa kajian operasi dan tahap kesiapsiagaan pesawat Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
”Penempatan aset berteknologi tinggi di UTHM ini juga bakal membuka lebih peluang kolaborasi penyelidikan antara pakar akademik universiti dan barisan jurutera ATSC.
”Pada masa yang sama, inisiatif ini memberi nilai tambah yang besar kepada pelajar UTHM menerusi peluang pembelajaran berorientasikan industri serta pendedahan teknikal secara praktikal,” katanya.
Penempatan aset itu juga rentetan daripada kejayaan beberapa projek kolaborasi sebelum ini antara UTHM dan ATSC.
Terdahulu, satu sesi lawatan tapak dan taklimat mengenai perancangan pengoperasian aset berkenaan telah diadakan di UAC pada 9 Julai lalu.
Sesi tersebut telah dihadiri oleh pemimpin utama dari pihak kerajaan, industri dan universiti.
Antaranya, Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam Kementerian Kewangan, Datuk Alan Abdul Rahim; Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dan Presiden Kumpulan National Aerospace and Defence Industries (NADI), Dato’ Edron Hayata Ahmad.
Hadir sama, Pengarah NADI, Brigedier Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Rahim Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif ATSC, Leftenan Kolonel (B) Datuk Fadzar Suhada TUDM serta pengurusan tertinggi dan staf UTHM. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast