KUALA LUMPUR – Kelab Liga Super, Star City FC mengumumkan kehadiran pemain naturalisasi negara, Endrick Dos Santos bagi memperkukuhkan skuad bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2026-27.
Pemain tengah skuad kebangsaan berusia 31 tahun itu kembali mewarnai Liga M selepas beraksi bersama kelab Vietnam, Cong An Ho Chi Minh City musim lalu.
Dia menjadi menjadi antara rekrut utama pasukan bimbingan Mehmet Durakovic selain tujuh lagi pemain tempatan baharu iaitu bekas pertahanan Negeri Sembilan, Muhammad Harith Samsuri; bekas penyerang Terengganu FC, Muhammad Syahmi Zamri dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob; selain Akmal Zahir, Muhammad Syafik Ismail serta T Saravanan.
Kelab itu turut memperkuatkan posisi penjaga gol dengan mendapatkan khidmat Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang sebelum ini pernah beraksi bersama KL City dan Penang FC.
Sementara itu, Star City berkata, Endrick adalah pemain serba boleh yang memiliki kemampuan untuk mengawal permainan dan mengukuhkan jentera serangan pasukan.
“Star City amat berbangga untuk mengumumkan penyertaan Endrick yang merupakan pemain dinamik, berpengalaman dan mampu memberikan impak besar kepada pasukan.
“Seiring usaha kami membentuk pasukan yang mampu mencabar pasukan terbaik liga, kehadiran pemain berkaliber sepertinya membuktikan komitmen kelab untuk menampilkan corak permainan menyerang yang lebih menarik,” kata Star City di media sosial kelab itu.
Star City musim lalu dikenali Imigresen FC sebelum penjenamaan baharubagi memperkukuhkan reputasi serta sokongan dalam menghadapi cabaran saingan Liga Super baharu.
Ia juga merupakan langkah penjenamaan semula pasukan bagi membentuk satu identiti baharu lebih sesuai dalam saingan masa depan. – MalaysiaGazette
















