KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen menetapkan esok bagi mendengar perbicaraan kes Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar terhadap pertuduhan melakukan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Hakim Rosli Ahmad menetapkan perbicaraan bermula esok dan 24 Julai, 17 dan 18 Ogos, 16 dan 23 Oktober, 3, 20 dan 30 November, 17 dan 18 Disember serta 15, 28 dan 29 Januari 2027.
Sebelum ini, Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd. itu atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof dan suami dibenar keluar negara untuk menunaikan ibadah haji dan kembali ke tanah air bulan lalu.
Mahkamah mengarahkan pasport mereka yang sebelum ini dilepaskan untuk perjalanan ke Tanah Suci diserahkan semula pada 18 Jun lalu.
Perbicaraan yang sepatutnya bermula pada 13 April lalu ditangguhkan selepas pasukan pembelaan memaklumkan mereka memerlukan masa untuk menyiapkan laporan audit kewangan untuk digunakan dalam kes pecah amanah pasangan tersebut.
Peguam, Shaarvin Raaj berkata, pihaknya perlu menyerahkan 12 jilid dokumen laporan audit kewangan dua syarikat iaitu FashionValet Sdn. Bhd. dan 30 Maple Sdn Bhd. untuk diserahkan kepada pihak juruaudit sebelum pernyataan pembelaan tertuduh disediakan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazawani Mohamad Sobry tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan.
Pada 5 Disember 2024, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd. melakukan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Kedua-dua tertuduh didakwa membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Januari tahun lalu, pasangan itu sekali lagi didakwa atas satu pertuduhan pilihan iaitu secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat yang sama iaitu dana pelaburan berkenaan di sebuah bank cawangan di Bukit Damansara pada tarikh yang sama.
Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















