Pengarah Komunikasi PH, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas beramah mesra dengan warga Felda Kepis sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kuala Pilah. Foto FAREEZ FADZIL, 22 JULAI 2026.

KUALA PILAH – Kerajaan memberi amaran tegas kepada Amerika Syarikat (AS) supaya tidak mencampuri urusan dalaman Malaysia, termasuk dalam soal penguatkuasaan undang-undang dan imigresen susulan kritikan lapan Ahli Kongres negara itu terhadap tindakan Malaysia berhubung isu Network School.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan ahli-ahli Kongres AS berkenaan yang mempertikaikan pendirian Malaysia disifatkan sebagai biadab kerana cuba mencampuri urusan sebuah negara yang berdaulat.

Katanya, kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan menyampaikan pendirian rasmi Malaysia kepada Kedutaan AS menerusi Kementerian Luar.

“Kita tidak akan berdiam diri dan sudah pasti akan menyampaikan mesej yang sangat jelas kepada Kedutaan Amerika Syarikat supaya tidak mencampuri urusan dalaman Malaysia, termasuk dalam soal imigresen.

“Malaysia ialah sebuah negara yang berdaulat. Sekiranya mana-mana pihak atau individu didapati melanggar syarat yang ditetapkan, kita mempunyai kuasa dan hak untuk menghalau serta mengusir mereka dari negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH), DUN Senaling Mohd Hanis Mohd Alimin di sini, petang ini.

Fahmi berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini dan kerajaan kekal dengan pendirian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara.

“Perdana Menteri telah menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam perkara ini.

“Jika mana-mana individu didapati melanggar syarat, Malaysia mempunyai hak dan kuasa untuk mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang negara,” ujarnya.

Beliau berkata, pelanggaran syarat membabitkan Network School sebelum ini dikenal pasti oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), sebelum Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bertindak membatalkan status Malaysia Digital Entity (MDE) milik entiti berkenaan.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri turut memaklumkan siasatan terhadap 11 individu yang dipercayai mempunyai dwi-kerakyatan masih diteruskan.

“Setakat ini Jabatan Imigresen dan MDEC belum mengenal pasti sebarang kesalahan baharu, namun siasatan masih berjalan dan sedang diperhalusi.

“Menteri Dalam Negeri juga memaklumkan tiada warganegara Israel dikesan dalam kalangan 266 individu yang telah disiasat atau ditemui setakat ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan kekal dengan pendirian bahawa mana-mana warganegara Israel yang didapati berada di Malaysia akan diusir mengikut peruntukan undang-undang negara.

Fahmi berkata, Menteri Luar ketika ini berada di Manila dan Wisma Putra akan mengambil tindakan susulan bagi menyampaikan pendirian tegas Malaysia kepada Kedutaan AS.

Katanya, setiap negara mempunyai hak untuk menguatkuasakan undang-undang serta dasar imigresennya sendiri tanpa campur tangan pihak luar.

“Malaysia menghormati hubungan diplomatik dengan semua negara, namun perkara yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang, status imigresen dan keselamatan negara adalah hak serta tanggungjawab kerajaan Malaysia.

“Atas sebab itu, kita akan menyampaikan pendirian yang jelas bahawa sebarang cubaan untuk mempengaruhi atau mencampuri keputusan Malaysia dalam perkara ini tidak boleh diterima,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana warganegara Israel yang didapati berada di Malaysia akan diusir mengikut undang-undang negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast