Temubual Eksulusif SkopMG bersama Bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming di Pejabat Malaysia Gazette Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Keputusan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dan meninggalkan kubu kuat beliau di DUN Sikamat bakal menjadi cabaran paling besar buat dirinya dan juga PH.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, langkah itu membawa risiko tersendiri berdasarkan struktur demografi pengundi di mana DUN Sikamat mempunyai komposisi sekitar 70 peratus pengundi Melayu manakala di Linggi pula hanya merangkumi kira-kira 60 peratus.

“Pandangan sesetengah pihak mungkin melihat peluang Aminuddin adalah lebih tinggi jika bertanding di kawasan yang mempunyai peratusan pengundi bukan Melayu lebih besar berbanding laluan sukar yang menanti beliau di kawasan majoriti Melayu yang lebih tebal.

“Tetapi saya menilai kelebihan beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson daripada segi rekod penyelesaian isu serta penambahbaikan infrastruktur di kawasan berkenaan boleh dijadikan modal dan bahan kempen yang memihak kepada beliau,” katanya ketika menjadi panel program MalaysiaGazette.

Jelas Kian Ming, di samping cabaran perpindahan kerusi itu, Aminuddin turut berdepan dengan permainan naratif yang diguna pakai oleh Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO bagi mempengaruhi emosi pengundi Melayu.

“Dalam tempoh beberapa hari berkempen, pihak lawan memainkan sentimen kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Tok Min sebenarnya dikuasai oleh DAP memandangkan kami memegang bilangan kerusi DUN dan jawatan Exco yang lebih ramai.

“Ini cabaran nyata yang boleh menjejaskan sokongan pengundi Melayu terhadap kedudukan PH.

“Sentimen berkenaan semakin kuat apabila pengumuman sasaran PH untuk menang 23 kerusi di Negeri Sembilan dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam satu majlis makan malam mengumpul dana bukannya diumumkan sendiri oleh Tok Min,” katanya lagi.

Kian Ming berkata, tindakan itu secara tidak langsung memberi gambaran atau persepsi di fikiran sebilangan pengundi Melayu bahawa DAP mendominasi gabungan tersebut sama ada tafsiran itu wajar ataupun tidak.

“Tetapi kita tidak boleh menafikan Anthony secara peribadi merupakan tokoh yang lebih mudah diterima oleh kebanyakan pengundi termasuk Melayu di Negeri Sembilan berbanding pimpinan DAP lain,” katanya.

Untuk rekod, Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan ke-16 ditetapkan pada 1 Ogos ini dengan perbutan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Seramai 103 calon bertanding dengan PH meletakkan semua calon di semua kerusi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast