Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain.

PONTIAN – Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian berjaya menyelesaikan 94 daripada 110 kes jenayah yang berlaku dari 1 Januari hingga 30 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, jumlah itu bersamaan 85.4 peratus kadar penyelesaian yang berjaya dicapai sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

“Satu pencapaian yang mencerminkan kecekapan dan keberkesanan tindakan siasatan yang dilaksanakan.

“Dalam tempoh yang sama, seramai 455 individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah hasil operasi, risikan dan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh BSJD IPD Pontian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, bagi kes yang berjaya dituduh pula BSJD IPD Pontian mencatatkan prestasi yang membanggakan dengan mencapai kadar 72.3 peratus.

Jelasnya, pencapaian itu menggambarkan komitmen berterusan dalam membantu setiap kes dikendalikan yang dilengkapi dengan siasatan berkualiti, telus dan memenuhi keperluan perundangan demi menegakkan keadilan serta memelihara keselamatan masyarakat.

Selain itu katanya, antara kejayaan signifikan BSJD IPD Pontian sepanjang tempoh itu adalah menumpaskan kumpulan jenayah kecurian motosikal melibatkan Geng Baweng dan Geng Kuyai yang aktif sekitar daerah ini.

Pihaknya turut berjaya menyelesaikan kes pembunuhan melalui Op Kejam Pekan Nanas dalam tempoh kurang 24 jam.

Dalam tempoh sama katanya, seramai 455 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah hasil operasi, risikan dan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan.

Hadzrat Hussien berkata, menerusi kerjasama dengan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di Kukup, sebanyak lapan serbuan dilakukan ke atas sindiket penyeludupan manusia di daerah ini dalam Ops Pintas dan Ops Taring Landai.

“Perancangan operasi bagi memperkukuh usaha pencegahan jenayah, BSJD IPD Pontian akan terus melaksanakan operasi bersepadu di lokasi hotspot jenayah dan rondaan pencegahan jenayah di kawasan perumahan, premis perniagaan dan lokasi tumpuan orang ramai.

“Serbuan berterusan terhadap individu serta kumpulan penjenayah yang dikenal pasti aktif dan pemantauan terhadap penjenayah berulang serta individu yang dikehendaki akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Melalui pengukuhan risikan jenayah pula pihaknya akan sentiasa meneruskan kerjasama bersama-sama komuniti, agensi kerajaan dan pihak swasta dalam program libat urus dengan masyarakat.

Tambahnya, ini bagi meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penyaluran maklumat berkaitan kegiatan jenayah.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast