NILAI – Perselisihan pandangan antara kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sudah dijangka susulan kenyataan berbeza antara pemimpin kedua-dua pihak.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penafian Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa BN dan PN merupakan satu gabungan sudah menunjukkan wujud perbezaan pendirian dalam susunan politik berkenaan.
“Saya dah jangka dah. Belum apa-apa, siapa dia (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin nak mengatakan Perikatan BN, itu pun dia dah kenal sembelih dah.
“Barisan tak setuju. Ya, saya tahu. Kadang-kadang saya pernah ada dekat situ, macam mana nak menguruskan soal Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Tawaran Bersatu Demi Nismilan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, perbezaan pendirian itu turut dapat dilihat apabila kenyataan yang dikeluarkan satu pihak disanggah pihak lain sekali gus menimbulkan persoalan mengenai bentuk kerjasama politik antara BN dan PN.
“(Tan Sri) Annuar Musa kata ini sebagai satu gabungan. Datuk Mohamad Hasan sudah nafi, ini bukan gabungan.
“Jadi semua kenyataan yang dikeluarkan oleh satu pihak disanggah oleh pihak yang lain dalam gabungan ataupun dalam arrangement yang baru,” katanya.
Awal hari ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya tidak memainkan isu kaum dan agama sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid berkata, sekiranya hasrat Muhammad Sanusi adalah untuk memperlihatkan penyatuan dalam kalangan rakyat, isu sedemikian tidak sepatutnya dibangkitkan kerana hanya akan meresahkan pelbagai kelompok masyarakat.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerjasama antara parti berkenaan lebih didorong kepentingan masing-masing namun kepentingan tersebut tidak semestinya mempunyai matlamat yang sama.
“Saya membuat ramalan bahawa ini adalah untuk kepentingan masing-masing. Tapi kepentingan tak semestinya untuk tujuan yang sama. Yang pokok, mereka nak bersama untuk kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan sejauh mana parti-parti yang membentuk kerjasama politik berkenaan memberi tumpuan kepada isu ekonomi dan sosial yang dekat dengan kehidupan rakyat.
Muhyiddin mendakwa terdapat perbezaan ketara dari segi penekanan manifesto khususnya berkaitan isu kehidupan dan kebajikan rakyat.
“Ada dia bincang soal macam mana kita bincang dalam manifesto? Ada tak terdengar Pas cakap soal ekonomi sosial? You keep on the ground, saya tanya siapa tak kenal dia keluarkan hukum-hakam.
“Dari mana datang bulan, langit dan matahari, buat macam itu. But the issue is about the livelihood of the people. Ada pernah sebut? Mereka dah keluarkan manifesto, ada?” soalnya.
Ditanya mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya Parti Wawasan Negara (Wawasan) bagi PRN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin bahawa Bersatu akan dipecat dari PN dalam masa terdekat, Muhyiddin berkata, sebarang keputusan untuk memecat mana-mana parti dalam PN seharusnya dibuat secara konsensus.
“Chegubard ini siapa? Dia ahli majlis pimpinan tertinggi PN? Dia memandai-mandai buat keputusan itu kenapa? Kita ada dalam peruntukan perlembagaan Perikatan Nasional. Nak memecat daripada parti mesti dapat konsensus,” jelasnya.
Mengenai kemungkinan Bersatu menjadi penentu kepada mana-mana parti dalam pembentukan kerajaan gabungan di Negeri Sembilan, Muhyiddin berkata, perkara itu belum diputuskan dan bergantung kepada keputusan PRN pada 1 Ogos depan.
“Kita tidak akan buat ramalan, kita lihat apa yang akan berlaku. Sasaran kita adalah bentuk kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
















