Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menaiki panji mengelilingi perbarisan selepas Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur di PULAPOL, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya tidak sesekali melindungi pesalah yang terlibat dalam isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebarang salah laku jenayah sepanjang menjalankan tanggungjawab.

Timbalan Ketua Polis Negara yang akan bersara wajib hari ini berkata, pangkat dan kuasa yang diberikan bukan satu keistimewaan untuk dibanggakan, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh intergriti.

“Budaya melindungi pesalah tidak boleh wujud dalam pasukan polis. Ketegasan perlu bermula daripada kepimpinan tertinggi. Jika sesiapa melanggar undang-undang, tindakan mesti diambil tanpa mengira pangkat.

“Jangan sesekali menggunakan kuasa untuk kepentingan diri. Gunakanlah amanah dengan penuh integriti, berlaku adil kepada semua tanpa mengira kedudukan, kaum atau agama.

“Ingatlah, manusia mungkin tidak melihat setiap tindakan kita, tetapi Allah SWT sentiasa melihat,” katanya dalam sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, melambai kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika meninggalkan Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur, beliau akan bersara bermula esok selepas 35 tahun berkhidmat dalam PDRM di PULAPOL, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 26 JULAI 2026

Beliau berkata demikian ketika mengingatkan warga PDRM supaya terus menjadikan integriti dan profesionalisme sebagai prinsip utama dalam melaksanakan tugas.

Sementara itu dalam ucapan Ayob Khan berkata, beliau mengakui sering dilabel sebagai pegawai yang tegas dan tidak bertolak ansur, khususnya dalam memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa serta jenayah terancang.

“Ada yang kata saya terlalu keras dan kurang diplomasi. Itu persepsi mereka. Ada yang suka, ada yang tidak, tetapi saya tidak pernah membiarkan sebarang kritikan menghalang saya daripada melakukan perkara yang betul.

“Sepanjang kerjaya, saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa integriti adalah aset paling bernilai yang dimiliki seseorang.

“Memetik kata-kata daripada sebuah filem, seseorang yang kehilangan wang sebenarnya tidak kehilangan apa-apa, kehilangan rumah hanya kehilangan sesuatu.

“Namun sekiranya kita kehilangan maruah dan peribadi ia adalah bermakna kita kehilangan segala-galanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan warga Sang Saka Biru supaya tidak bimbang mengenai soal rezeki apabila berpegang teguh kepada prinsip dan kebenaran.

Beliau berkata, kejayaan yang dikecapinya sepanjang lebih tiga dekad berkhidmat dalam PDRM bukan disebabkan latar belakang keluarga atau hubungan dengan mana-mana pihak, sebaliknya hasil usaha, doa serta ketentuan Allah SWT. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast