KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) mendapati kerugian yang ditanggung oleh agensi itu meningkat kepada RM10 billion menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan segera pelan pemulihan bagi menjamin kedudukan kewangan negara.
Hasil laporan RCI yang didedahkan semalam menyatakan, suruhanjaya itu mengambil maklum hasil penemuan PwC Malaysia yang merumuskan bahawa kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH) berada dalam keadaan kritikal pada 2017.
Laporan itu turut menyatakan, suruhanjaya maklum tindakan segera perlu dilaksanakan dalam masa yang singkat untuk memulihkan kedudukan kewangan LTH sebelum berakhir tahun kewangan 2018.
Sehubungan itu, Jemaah Menteri pada 30 November 2018 bersetuju terhadap rangka kerja Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang kemudian diluluskan pada 7 Disember 2018 dan perlu dilaksanakan kurang daripada dua minggu (ketika itu) sebelum akhir tahun.
Suruhanjaya selanjutnya mendapati, Perjanjian Pemindahan Aset telah ditandatangani pada 27 Disember 2018 bagi pemindahan 106 saham tersenarai, sebuah syarikat perladangan dan 29 aset hartanah.
Menurut laporan itu, jika jurang defisit tidak ditutup sebelum 31 Disember 2018, LTH tidak akan berupaya mengagihkan keuntungan (hibah) kepada hampir 9.3 juta pendeposit berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
“Sekiranya LTH tidak mengagihkan hibah kepada lebih 9.2 juta pendeposit (ketika itu), agensi itu mungkin menghadapi risiko pengeluaran deposit tidak terkawal (bank run) secara besar-besaran.
“Jika ini berlaku, bagi menampung keperluan kecairan, LTH perlu melakukan penjualan aset secara tergesa-gesa (fire-sale),” ujar laporan setebal 252 muka surat bertarikh 19 Julai 2022.
Laporan RCI Bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji LTH) dari 2014 hingga 2020 itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.
Laporan itu selanjutnya menyatakan, jika isu kecairan pengeluaran secara mendadak itu tidak ditangani maka jaminan kerajaan terpaksa diaktifkan untuk menampung keperluan kecairan LTH.
Menurutnya, oleh yang demikian kerajaan terpaksa menanggung sejumlah keperluan suntikan tunai tersebut serta merta daripada Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan dan perlu direkodkan sebagai hutang kerajaan.
“Hal ini akan memberi kesan negatif kepada kedudukan fiskal kerajaan dan mendedahkannya kepada risiko penurunan penarafan kredit negara akibat realisasi jaminan kerajaan.
“LTH terdedah kepada risiko strategik ekosistem kewangan negara dan isu yang dihadapi LTH boleh membawa kepada krisis kewangan negara yang lebih besar dan memberi kesan kepada keyakinan pelabur,” menurut laporan itu.
Ujarnya, jika LTH gagal, jaminan kerajaan kepada pendeposit yang ketika itu bernilai RM88 bilion terpaksa digunapakai. – MalaysiaGazette















