KUALA LUMPUR – Rampasan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat hampir enam kali ganda bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 1.35 tan dadah bernilai dianggarkan RM108.35 juta dirampas sepanjang tempoh itu, berbanding hanya 235 kilogram bernilai RM18.46 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, seramai 121 individu ditahan dalam tempoh tujuh bulan berkenaan, meningkat berbanding 57 suspek yang ditahan dalam tempoh sama pada 2025.
“Berdasarkan trend semasa, JSJN mengesan cubaan sindiket antarabangsa dan tempatan mengubah modus operandi mereka dengan menyeludup bunga ganja ke dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hussein berkata, sebanyak 1.25 tan bunga ganja dirampas tahun ini berbanding hanya 82.98 kilogram dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, usaha penguatkuasaan JSJN tidak hanya tertumpu kepada pemeriksaan di pintu masuk KLIA, malah turut diperkukuh menerusi risikan berkesan serta tindakan susulan pantas oleh JSJN Daerah KLIA.
Menurutnya, usaha itu berjaya menumpaskan rangkaian sindiket menerusi lima operasi yang dijalankan di Sepang dan Seremban.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga JSJN serta anggota Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) atas komitmen dan kerjasama yang diberikan. -MalaysiaGazette
















