Tuan Ibrahim Tuan Man.

JEMPOL – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan semua calon yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya tidak hanyut dengan kemenangan sehingga timbul sifat ujub dan sombong, sebaliknya memperbanyakkan istighfar serta mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT.

Menurut beliau, kemenangan bukanlah hasil kehebatan manusia semata-mata, sebaliknya anugerah daripada Allah SWT yang wajib diraikan dengan penuh rasa syukur, tawaduk dan muhasabah diri.

“Allah mengajar kita agar bertasbih ketika memperoleh kemenangan dan mengiringinya dengan istighfar supaya kemenangan itu tidak melahirkan sifat angkuh, memperlekehkan lawan atau merasakan kejayaan itu datang daripada kehebatan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ADUN Cheka itu memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Nasr, ayat 3 yang bermaksud “Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima taubat.”

Menurutnya, kemenangan sebenar bukan sekadar menewaskan lawan dalam pilihan raya, sebaliknya apabila kejayaan itu menjadikan seseorang lebih dekat kepada Allah SWT serta lebih adil dalam melaksanakan amanah kepada rakyat.

Beliau turut mengingatkan, ujian selepas kemenangan jauh lebih berat berbanding ketika mengalami kekalahan kerana kemenangan menguji keikhlasan, kerendahan hati dan amanah seseorang pemimpin.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengucapkan tahniah kepada semua calon yang dipilih rakyat, namun mengingatkan bahawa kemenangan adalah permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk menunaikan segala janji dan manifesto.

Beliau turut menyeru semua wakil rakyat berlaku adil kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

“Tugas saudara-saudari kini ialah melaksanakan segala janji dan manifesto yang telah diikrarkan kepada rakyat,” katanya.

“Selepas pilihan raya berakhir, tiada lagi penyokong atau penentang. Semuanya adalah rakyat yang berhak mendapat layanan yang adil, saksama dan penuh ihsan,” katanya.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim juga menggesa Kerajaan Persekutuan supaya terus berlaku adil terhadap negeri-negeri yang ditadbir kerajaan berlainan demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, BN-PN berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti 2/3 selepas gabungan persefahaman itu menang mendahului dengan memenangi 25 kerusi Dewan Undangan Negeri. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast