SHAH ALAM — Keputusan sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan bagi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bergantung kepada pengesahan Speaker DUN sebelum diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat mengikut peruntukan undang-undang.
Katanya, Speaker DUN akan terlebih dahulu memuktamadkan kedudukan kerusi berkenaan sebelum perkara itu diserahkan kepada SPR untuk tindakan selanjutnya.
“Kita kena akur kerana ia adalah keputusan suruhanjaya (SPR) berdasarkan pengumuman yang akan dibuat oleh Speaker,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.
Amirudin sebelum ini dipetik berkata, Speaker DUN Selangor dijangka membuat pengesahan berhubung dakwaan membabitkan status seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini.
Katanya, perkara itu sedang diteliti bersama penasihat undang-undang negeri bagi menentukan tindakan yang perlu diambil sebelum sebarang keputusan dibuat.
Sebelum ini, timbul dakwaan Selangor mungkin berdepan PRK susulan isu kehilangan kelayakan membabitkan status seorang ADUN yang didakwa boleh menyebabkan kekosongan kerusi.
Mengulas kemungkinan PRK tetap diadakan walaupun penggal DUN kini menghampiri penghujung, Amirudin menegaskan perkara itu bukan ditentukan oleh kerajaan negeri.
“SPR akan membuat pertimbangan sama ada tempoh berbaki mencukupi atau sebaliknya dan sama ada perlu diadakan PRK. Jika perlu diadakan, kita akur kerana itu keputusan suruhanjaya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pejabat Speaker dijangka mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan kerusi berkenaan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
















