[Gambar fail] Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bercakap kepada media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Seri Menanti Resort, Kuala Pilah. Foto MOHD ADZLAN, 02 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Halaman Facebook rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim disahkan sedang mengalami gangguan teknikal yang menyebabkan gambar profil akaun berkenaan tidak dipaparkan buat sementara waktu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan ringkas yang dimuat naik di platform berkenaan hari ini.

Menurut kenyataan itu, gangguan tersebut berlaku susulan trafik yang tinggi selain proses pengesahan yang sedang dijalankan oleh pihak Facebook.

“Page Facebook rasmi Datuk Ismail Lasim sedang mengalami sedikit gangguan teknikal menyebabkan gambar profil tidak dapat dipaparkan buat sementara waktu.

“Perkara ini berlaku berikutan trafik yang tinggi serta proses pengesahan oleh pihak Facebook,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak bimbang kerana gangguan berkenaan hanya bersifat sementara dan tidak menjejaskan operasi halaman rasmi tersebut.

Pihak pentadbiran halaman berkenaan turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna.

“Segala kesulitan amat dikesali. Terima kasih,” menurut kenyataan itu.

Selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada Ahad lalu, Ismail hari ini secara rasminya memulakan tugas di Wisma Negeri di sini pada pukul 9 pagi tadi.

Ketibaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali.

Pada Ahad lalu, Ismail, 67, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Beliau bergelar wakil rakyat selepas dipilih menjadi ADUN pada tahun 1999 sebelum membina pengalaman selama hampir tiga dekad dalam politik Negeri Sembilan.

Ismail dilantik sebagai Exco pada 2004 dan menganggotai pentadbiran negeri selama tiga penggal berturut-turut hingga 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast