Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2026.

BANGI – Graduan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang masih belum memperoleh pekerjaan digesa memanfaatkan portal MYFutureJobs bagi meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai sektor industri.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, portal yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu menyediakan ribuan peluang pekerjaan daripada majikan di seluruh negara, sekali gus menjadi platform terbaik untuk graduan memulakan kerjaya.

“Kalau susah nak cari kerja, boleh memohon melalui portal MYFutureJobs yang disediakan di bawah KESUMA. Peluang pekerjaan memang ada,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) hari ini.

Menurut Ramanan, kerajaan akan terus memastikan graduan TVET memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan serta kemahiran dimiliki selaras dengan permintaan industri yang semakin memerlukan tenaga kerja mahir.

Pada masa sama, beliau berkata, graduan JTM terus mendapat pengiktirafan tinggi daripada industri apabila kadar kebolehpasaran lepasan institusi itu mencecah 95.5 peratus, manakala tahap kepuasan majikan direkodkan sebanyak 97.2 peratus.

“Pencapaian ini membuktikan latihan yang diberikan JTM memenuhi keperluan industri.

“Ini adalah permata kerajaan yang mungkin ramai tidak tahu, sebab itu kejayaan ini perlu diketengahkan,” katanya.

Mengulas mengenai gaji permulaan graduan, beliau berkata, pendapatan yang diterima bergantung kepada sektor pekerjaan dan lokasi penempatan dengan ada dalam kalangan graduan memperoleh gaji melebihi RM4,000 sebulan khususnya dalam bidang maritim yang turut menawarkan elaun serta bayaran dalam mata wang asing.

Beliau turut memaklumkan syarikat-syarikat besar seperti Perodua, Huawei dan 7-Eleven merupakan antara majikan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan JTM, sekali gus membuktikan keyakinan industri terhadap kualiti latihan yang disediakan institusi berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast