Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam).

KUALA LUMPUR — Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) menggesa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera memperketat protokol keselamatan di semua lapangan terbang negara susulan kebimbangan terhadap sindiket penyeludupan dadah yang semakin canggih.

NUFAM berkata, insiden pelanggaran keselamatan berprofil tinggi baru-baru ini apabila sejumlah besar narkotik berjaya melepasi pemeriksaan utama lapangan terbang menunjukkan terdapat kelemahan serius dalam operasi keselamatan sedia ada.

Menurutnya, sesiapa sahaja termasuk anak kapal, pengendali darat dan pekerja lapangan terbang berpotensi menjadi mangsa atau dieksploitasi sindiket jenayah terancang.

“Keselamatan penerbangan tidak boleh bergantung semata-mata kepada teknologi yang boleh diperdaya atau dipintas,” menurut NUFAM dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, NUFAM mencadangkan beberapa langkah keselamatan baharu termasuk penempatan unit pengesan K9 khusus untuk mengesan narkotik dan bahan letupan di semua kaunter daftar masuk, kawasan pengasingan bagasi serta zon landasan (tarmac) yang terhad.

NUFAM turut menggesa pemeriksaan fizikal dan K9 secara menyeluruh serta mengejut dilaksanakan terhadap semua individu yang memasuki kawasan keselamatan lapangan terbang termasuk penumpang, pengendali darat dan anak kapal.

Pada masa sama, NUFAM mencadangkan syarikat penerbangan dan pihak berkuasa lapangan terbang memperkenalkan tanda pengenalan khas untuk anak kapal bagi mengelakkan kekeliruan dengan bagasi penumpang.

Menurut NUFAM, parameter keselamatan yang lebih ketat juga perlu diwujudkan bagi melindungi integriti kakitangan syarikat penerbangan daripada dieksploitasi sindiket penyeludupan dadah.

“Pihak berkuasa mesti menjalankan pemeriksaan dadah yang sewajarnya terhadap semua pekerja, sama ada pekerja tetap atau kontrak sebelum mereka memasuki kawasan lapangan terbang,” katanya.

NUFAM turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) definisi tinggi (HD) di semua kawasan bagasi termasuk kawasan barang hilang dan dijumpai (lost and found).

NUFAM berkata, penggunaan anjing K9 terlatih mampu menjadi lapisan pertahanan tambahan yang berkesan kerana mempunyai keupayaan mengesan bahan terlarang yang mungkin disembunyikan menggunakan teknik pembungkusan atau ruang penyimpanan tertentu.

“MAHB mesti bertindak tegas untuk melumpuhkan sindiket dadah ini dan memulihkan keyakinan penuh terhadap keselamatan lapangan terbang di Malaysia.

“NUFAM kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan integriti profesional semua pekerja syarikat penerbangan serta penumpang dilindungi sepenuhnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast