KUALA LUMPUR – Semua warganegara Malaysia yang berdaftar di Colombia pada masa ini berada dalam keadaan selamat susulan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda barat negara itu pada Isnin.
Kementerian Luar Negeri berkata, ia sedang memantau dengan rapat perkembangan kejadian gempa bumi berukuran 7.4 magnitud pada skala Richter yang melanda wilayah barat Colombia.
“Pihak kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menzahirkan rasa simpati kepada Kerajaan dan rakyat Republik Colombia yang terjejas akibat bencana alam ini.
Menurutnya, rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melawat kawasan yang terjejas di Colombia dinasihatkan untuk mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya dan mematuhi sepenuhnya segala arahan pihak berkuasa tempatan dan perkhidmatan kecemasan tempatan.
Semua rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar turut digesa untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan kadar segera melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
Gempa bumi tersebut berlaku pada jam 7.34 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa bumi terletak berhampiran daerah San José del Palmar di Wilayah Chocó.
Gegaran kuat turut dirasai di sebahagian besar negara itu, terutamanya di sekitar wilayah tengah Colombia termasuk Cali, Pereira, Manizales, dan Armenia serta di ibu negara, Bogota, yang mengakibatkan kerosakan serius pada bangunan daninfrastruktur.
Kementerian Luar Negeri berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera, atau ingin menyalurkan maklumat mengenai warganegara Malaysia lain yang mungkin berada di kawasan yang terjejas, digesa untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru:
Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru
Telefon/ WhatsApp: (511) 422 0297, (511) 441 1939 ,
(511) 441 0795
E-mel: [email protected], [email protected]
Laman sesawang: https://www.kln.gov.my/web/per_lima/home
https://www.facebook.com/malawakillima.peru.9
– MalaysiaGazette
















