Festival Kebudayaan Warisan Melayu Madani Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) 2026 yang berlangsung dua hari sejak kelmarin di UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang.

KUALA LUMPUR – Festival Kebudayaan Warisan Melayu Madani Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) 2026 yang berlangsung dua hari sejak kelmarin di UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang, menjadi platform untuk memperkasakan budaya dan warisan bangsa Melayu, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Festival anjuran GPMS itu dirasmikan oleh Pengarah Tourism Kelantan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Presiden GPMS, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, antara pengisian utama festival itu termasuk persembahan Mak Yong dan Wayang Kulit, seni dan muzik tradisional, bengkel seni warisan, pameran kebudayaan, aktiviti belia serta persembahan pentas.

Menurutnya, penganjuran itu memberi penekanan kepada usaha memastikan warisan seperti Mak Yong dan Wayang Kulit terus dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Tambahnya, golongan belia turut diberi ruang untuk mengenali, mempelajari dan terlibat secara langsung dalam seni warisan sebagai pewaris budaya bangsa.

“Festival ini turut menjadi platform memperkukuh jaringan antara pertubuhan belia, agensi kerajaan, institusi pendidikan, penggiat seni dan masyarakat setempat.

“Selain pemeliharaan warisan, festival ini mengetengahkan kebudayaan sebagai aset pelancongan Kelantan, dengan keunikan seni tradisional seperti Mak Yong yang telah disenaraikan Mak Yong boleh disebut sebagai warisan budaya tidak ketara yang diiktiraf UNESCO dan Wayang Kulit berpotensi menjadi tarikan pelancongan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Festival itu turut diadakan sebagai sambutan untuk ulang tahun GPMS ke-78.

Menurut Muhd Fazreen Ismadi, festival itu merupakan sebahagian daripada komitmen GPMS untuk memperkasa budaya dan warisan bangsa Melayu, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Kita mahu memastikan warisan seperti Mak Yong yang telah diiktiraf UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, serta Wayang Kulit dan seni tradisional lain terus dikenali, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here