Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa skandal Tabung Haji mendedahkan kewujudan kelompok elit yang beroperasi dalam rangkaian kepentingan bersama dan dilindungi kuasa politik sehingga membolehkan dana institusi itu disalah urus.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dinyahklasifikasikan bukan sekadar menunjukkan kegagalan pentadbiran atau strategi pelaburan yang lemah, sebaliknya mendedahkan apa yang disifatkannya sebagai pelanggaran amanah jenayah yang sistematik dan dirancang.

Dakwanya, kerugian yang membawa Tabung Haji ke ambang kejatuhan sistemik sebanyak RM13 bilion tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut individu yang menjadi sasaran, sebaliknya persoalan lebih besar ialah siapa yang membina, mengendalikan dan melindungi rangkaian yang membolehkan perkara itu berlaku.

“Tabung Haji diwujudkan sebagai institusi pembangunan yang mulia untuk mengurus simpanan rakyat biasa yang berusaha menunaikan ibadah haji.

“Menjejaskan integriti kewangan institusi ini, memanipulasi kunci kira-kira menerusi ‘perakaunan kreatif’, membayar dividen secara tidak sah ketika liabiliti jauh mengatasi aset serta menyalurkan berbilion ringgit melalui urus niaga orang tengah yang toksik adalah satu pencabulan moral,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kelompok berkenaan disifatkan sebagai “Malaysian Epstein Class”, iaitu golongan elit yang didakwa menggunakan kedudukan dan pengaruh untuk beroperasi tanpa rasa takut terhadap undang-undang, pengawasan serta nilai moral.

“Kelompok ini bukan satu entiti yang tersasar. Ia merupakan sindiket pemboleh merentasi setiap lapisan pengawasan profesional dan awam, termasuk sarjana serta pentadbir agama, pakar undang-undang dan akauntan, pengawal selia serta pegawai kerajaan dan golongan politik yang berkuasa ketika itu.

“Golongan sarjana dan pentadbir agama didakwa memberikan lapisan legitimasi serta perlindungan spiritual, manakala pakar undang-undang dan akauntan pula didakwa membantu membentuk urus niaga orang tengah serta struktur kewangan yang kabur untuk menyembunyikan kedudukan kewangan sebenar.

“Pengawal selia dan pegawai kerajaan pula didakwa menutup mata, melengahkan tindakan atau meluluskan pelaburan berisiko tanpa usaha wajar, manakala elit politik ketika itu didakwa memperlakukan amanah awam sebagai sumber untuk naungan, politik kepartian dan pengayaan golongan elit,” dakwa beliau.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang perlu mengeluarkan kecaman secara bersama terhadap pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab fidusiari mereka.

Katanya, kerajaan juga perlu memastikan tiada pihak yang terlibat terlepas daripada tindakan undang-undang, termasuk setiap individu yang didakwa menjadi arkitek, pengatur, akauntan yang meluluskan urus niaga serta pengendali politik.

Tegas beliau, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara perlu menjejaki semua pihak yang terbabit selain merampas keuntungan tidak sah, melucutkan gelaran dan menghukum mereka mengikut peruntukan undang-undang.

“Apabila golongan elit percaya bahawa memakai sut, memegang gelaran atau berselindung di sebalik kesolehan agama menjadikan mereka kebal daripada undang-undang, kontrak sosial akan runtuh.

“Tabung Haji adalah milik ummah dan rakyat Malaysia, bukan mana-mana kelompok politik.

“Jika kita gagal meruntuhkan rangkaian kebal daripada hukuman ini hari ini, kita membuka ruang untuk institusi suci yang lain pula dijarah pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here