Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sesi Temu Anwar Dan Majlis Perasmian Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 di KSL Esplanade Hotel, Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 20 OGOS 2026.

KUALA LANGAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada siapa akan dikecualikan daripada siasatan sekiranya wujud dakwaan pelanggaran tatakelola dalam syarikat berkaitan kerajaan termasuk Khazanah Nasional.

Beliau yang juga Menteri Kewangan itu berkata, prinsip itu turut terpakai terhadap keputusan yang dibuat pada zaman pentadbiran terdahulu walaupun individu yang memegang jawatan ketika ini tidak terlibat secara langsung dalam keputusan tersebut.

Anwar berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan sebarang persoalan tatakelola hanya kerana ia berkaitan dengan keputusan lama.

“Tak kira walaupun pengerusi sekarang Perdana Menteri, kalau ada pelanggaran tatakelola, siasat,” katanya ketika sesi Temu Anwar sempena Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini hari ini.

Menurutnya, keputusan untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkaitan sebuah syarikat yang ditubuhkan sejak 2012 telah dibuat dalam mesyuarat lembaga Khazanah.

“Tindakan itu penting bagi memastikan semua persoalan dapat dijelaskan dan institusi berkenaan terus mempunyai tahap keyakinan yang tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya.

Anwar berkata, siasatan tersebut bukan bertujuan memburu kesalahan individu atau membalas dendam terhadap pihak tertentu, sebaliknya ia sebahagian daripada usaha membersihkan sistem dan memperkukuh tatakelola.

“Ini bukan kerana kita dengki orang lama. Masalahnya sekarang, nasib baik kita ada menteri, ada lembaga yang bersih, jaga baik-baik,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa agenda pembaikan institusi memerlukan keberanian untuk meneliti keputusan lama yang mempunyai implikasi kewangan pada masa kini.

“Jika berlaku kerugian atau komitmen kewangan yang masih perlu ditanggung kerajaan dan rakyat, isu tersebut tidak boleh dianggap selesai hanya kerana ia berlaku 10 atau 15 tahun lalu,” katanya.

Katanya lagi, pendekatan kerajaan adalah memastikan aset negara diurus dengan lebih bertanggungjawab serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi strategik.

“Sebagai contoh bangunan bersejarah di Kuala Lumpur yang mempunyai nilai warisan dan maruah negara.

“Aset serta bangunan yang mempunyai nilai sejarah perlu dipelihara sebagai sebahagian daripada warisan negara dan tidak hanya dilihat dari sudut komersial,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here