Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sesi Temu Anwar Dan Majlis Perasmian Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 di KSL Esplanade Hotel, Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 20 OGOS 2026.

KUALA LANGAT – Malaysia tidak akan menjadi negara yang hanya diam kerana mempunyai hubungan ekonomi dan diplomatik dengan kuasa besar dunia, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, Anwar memberi amaran hubungan baik Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS), China dan negara ASEAN tidak bermakna suara negara boleh dikawal apabila membabitkan prinsip kemanusiaan, penjajahan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin.

“Kita baik dengan AS, kita baik dengan China, kita baik dengan negara ASEAN. Orang kritik lagi,” katanya ketika sesi Temu Anwar sempena Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Temu Anwar Dan Majlis Perasmian Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 di KSL Esplanade Hotel, Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 20 OGOS 2026.

Anwar berkata, Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan yang perlu berhubung dengan pelbagai negara demi kepentingan ekonomi dan rakyat.

Namun, kata perdana menteri, hubungan itu tidak boleh menghilangkan hak Malaysia untuk bersuara.

“Kita negara dagang. Ratusan ribu pekerja di Malaysia ini, suara kita tak boleh dikawal,” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai hak untuk menyatakan pendirian dengan tegas dan berani, termasuk terhadap isu Palestin dan Gaza.

“Pendirian saya mengenai Palestin pernah disuarakan secara terbuka di pentas antarabangsa, termasuk ketika berhadapan pemimpin kuasa besar,” katanya.

Katanya, perjuangan Palestin bukan sekadar isu politik atau agama, sebaliknya berkait rapat dengan prinsip menentang penjajahan.

“Kita dibesarkan dengan semangat yang kukuh untuk menentang penjajahan.

“Bagaimana boleh kita sahkan tetapi kekejaman itu masih berterusan,” katanya.

Beliau turut menolak pandangan bahawa Malaysia perlu menghantar tentera ke Gaza sebagai ukuran sama ada kerajaan benar-benar memperjuangkan Palestin.

“Bantuan kepada rakyat Palestin telah disalurkan dalam bentuk rawatan perubatan, bantuan ubat-ubatan, penghantaran pesakit serta sokongan kepada usaha membina kemudahan seperti masjid dan hospital,” katanya.

Katanya, dalam keadaan semasa, ruang Malaysia yang paling penting ialah menggunakan kekuatan diplomasi untuk menyuarakan pendirian secara lantang.

“Ada orang kata tak cukup. Tapi bayangkan negara mana termasuk dalam ASEAN yang setegas dan sekeras ini dalam perjuangan Palestin?” katanya.

Anwar mengakui pendirian tersebut mempunyai risiko politik, namun menegaskan Malaysia tidak boleh mengorbankan prinsip hanya kerana mahu menjaga hubungan dengan negara berkuasa.

“Saya tahu ada risikonya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here