GEORGE TOWN – Dua lelaki termasuk seorang warga emas berusia 78 tahun berdepan detik cemas apabila terperangkap di koridor luar tingkat 14, bahagian belakang sebuah pangsapuri di Jalan Lenggong Symphony Park, Jelutong di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya mengambil tindakan dengan memasuki rumah mangsa melalui pintu hadapan sebelum menyelamatkan kedua-dua lelaki berkenaan.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.28 tengah hari sebelum menggerakkan sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak ke lokasi kejadian.
“Kejadian berlaku apabila warga emas tersebut dikatakan cuba keluar dari bilik melalui tingkap belakang untuk membuka pintu rumah dari bahagian hadapan kerana menyangka pintu biliknya berkunci.
“Bagaimanapun, usahanya itu tidak berjaya. Seorang jiran berusia 50 tahun yang terlihat kejadian itu kemudian cuba membantu sebelum kedua-duanya kepenatan dan terperangkap di ruang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala operasi tamat sepenuhnya pada 1.52 tengah hari, katanya.- BERNAMA
















