Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 2.2 juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh rayanya pada hari-hari puncak sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan akan datang.

Menurutnya, jumlah trafik dijangka meningkat pada 28 hingga 31 Ogos serta 4 hingga 7 September, susulan orang ramai mengambil peluang cuti umum dan persekolahan untuk melakukan perjalanan.

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya digalakkan merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual digital MyPLUS-TTA (Travel Time Advisory) menerusi Aplikasi PLUS.

Menurut PLUS, jadual berkenaan disusun berdasarkan jangkaan pola trafik pada musim perayaan dan waktu puncak terdahulu bagi membantu mengagihkan aliran trafik serta mengurangkan kesesakan.

Sepanjang tempoh itu, PLUS menambah petugas di plaza tol dan kawasan rehat, meningkatkan rondaan PLUSRonda serta memantau trafik secara berterusan melalui Pusat Pemantauan Trafik.

Smart Lane juga akan diaktifkan di 33 lokasi terpilih bagi membantu melancarkan trafik di kawasan yang berpotensi mengalami kesesakan.

Lantaran itu, PLUS menasihatkan pengguna mematuhi papan tanda Smart Lane, mengurangkan kelajuan dan tidak menggunakan lorong kecemasan di luar lokasi pengaktifannya.

Para pengguna lebuh raya juga diminta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mempunyai baki Touch ’n Go atau eWallet yang mencukupi serta mematuhi had laju dan jarak pemanduan selamat.

Bagi perjalanan jarak jauh, pengguna digalakkan berehat di R&R atau hentian sebelah sebelum meneruskan perjalanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here