KUALA LUMPUR – Isu pemindahan gajah `Sulong’ menimbulkan persoalan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi melibatkan proses translokasi haiwan bagi memastikan hidupan itu terus selamat dan dilindungi.
Penasihat Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan), Norashikin Che Omar berkata, kes tular `Sulong’ yang dipindahkan dari Chalil Gua Musang ke Hutan Gerik menyebabkan kaki haiwan itu mengalami kecederaan akibat dirantai terlalu lama sementara menunggu ketibaan gajah denak.
Menurut beliau, difahamkan kelewatan ketibaan gajah denak berlaku kerana terlalu banyak kes konflik gajah berlaku secara serentak.
“Perlu ada SOP tertentu bagi mengelakkan gajah menunggu terlalu lama sebelum proses translokasi dapat dijalankan,” ujarnya dalam kenyataan.

Keberadaan gajah jantan itu menjadi tanda tanya selepas ia dilaporkan tidak kelihatan di sepanjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB), semalam.
Bagaimanapun, Norashikin berkata, kesalahan tidak boleh diletakkan 100 peratus terhadap petugas di lapangan, sebaliknya melihat punca yang lebih besar iaitu apabila hutan terus digondol dan habitat gajah semakin hilang.
“Kes Sulong sepatutnya menjadi amaran bahawa kita tidak boleh hanya merawat akibat. Punca konflik juga mesti dihentikan iaitu kemusnahan habitat dan hutan yang tidak terkawal.
“Apakah langkah perlindungan yang wajib diambil bagi memastikan kebajikan serta keselamatan gajah tidak terjejas?” ujarnya.
Menurut Norashikin, gajah denak juga mempunyai batas tenaga dan tidak sepatutnya terus dipaksa bekerja siang dan malam untuk menangani konflik yang semakin meningkat akibat kehilangan habitat.
Ujar beliau, selaku aktivis alam sekitar, pihaknya memandang serius kemusnahan hutan dan ekosistem yang semakin membimbangkan serta kesannya terhadap hidupan liar dan masyarakat Orang Asli.
Katanya, menurut kenyataan Menteri Datuk Sri Arthur Joseph Kurup, hutan di Semenanjung Malaysia hanya tinggal 43 peratus dan seharusnya menjadi loceng amaran yang sangat kuat kepada semua pihak.
“Malaysia selama ini membawa komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan.
“Persoalan penting sampai bila hutan mahu dikorbankan sehingga kita merasa benar-benar ‘puas’ dan ‘sudah cukup’?” ujarnya.
Menurut Norashikin, hutan dan haiwan ialah khazanah alam yang wajib dipelihara dan dilindungi dan apabila gunung-ganang ditarah dan hutan rimba dijarah, kawasan tadahan air serta sungai turut menerima kesan daripada kerakusan manusia.
Tegas beliau, sumber ekonomi tidak sepatutnya bergantung kepada penebangan dan penerokaan hutan semata-mata.
Katanya, hutan yang ditebang mungkin memberikan hasil ekonomi dalam tempoh tertentu, namun apabila hutan hilang, negara kehilangan sumber air, biodiversiti, habitat hidupan liar, kawasan tadahan air, sumber makanan masyarakat setempat dan sistem ekologi yang mengambil masa puluhan atau ratusan tahun untuk terbentuk.
“Pembangunan sebenar ialah pembangunan yang membolehkan manusia, alam dan hidupan liar terus hidup bersama. Alam bukan milik kita untuk dimusnahkan sesuka hati,” ujarnya.
Selain itu kata beliau, kemusnahan hutan turut dirasai oleh masyarakat Orang Asli yang selama ini bergantung kepada hutan sebagai sumber makanan, pendapatan dan kehidupan.
Jelasnya, haiwan semakin kerap memasuki kawasan penempatan manusia yang menyebabkan masyarakat Orang Asli terpaksa berhadapan dengan gangguan hidupan liar siang dan malam.
Sehubungan itu, katanya, Shelter Ihsan menyeru Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Jabatan Perhutanan, PERHILITAN dan semua agensi berkaitan supaya melihat isu tersebut secara menyeluruh.
“Dalam kes konflik manusia dan haiwan, jangan hanya tangkap dan pindahkan mereka. Jika mahu mengurangkan beban PERHILITAN, jangan terus musnahkan habitat yang menjadi rumah kepada hidupan liar,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















