PENGKALAN CHEPA – Kerajaan Persekutuan digesa menilai semula dasar pemberian dan pembaharuan lesen perjudian, termasuk mempertimbangkan penghentian pemberian lesen baharu bagi membendung kesan sosial dan moral akibat aktiviti tersebut.
Gesaan itu terkandung dalam usul tanpa bahas berkenaan isu perjudian yang dibentangkan Ketua Penerangan merangkap Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, pada Muktamar Tahunan Pas Pusat Kali Ke-72 di PUTIK, di sini, hari ini.
Menurut usul berkenaan, pendekatan Kerajaan Negeri Kedah yang tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perjudian sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan tuntutan Islam dan membendung kesan sosial serta moral akibat perjudian telah dicabar melalui proses kehakiman.
Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun 2024 membenarkan semakan kehakiman sebelum Mahkamah Rayuan pada 12 Disember 2025, menerusi keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah.
Pada 12 Ogos 2026 pula, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran Kerajaan Negeri Kedah untuk merayu, sekali gus menyebabkan keputusan Mahkamah Rayuan kekal.
Pas berpandangan, perkembangan itu menunjukkan keterbatasan ruang kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil pendekatan lebih tegas terhadap premis perjudian apabila perkara berkaitan perjudian dan pelesenannya tertakluk kepada pembahagian kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, muktamar menggesa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan menilai semula dasar pemberian dan pembaharuan lesen perjudian termasuk mempertimbangkan penghentian pemberian lesen baharu.
Selain itu, kerajaan negeri khususnya negeri-negeri SG4 disaran memperkemaskan undang-undang sedia ada, dasar PBT dan mekanisme pentadbiran berdasarkan nasihat perundangan supaya tindakan membendung aktiviti perjudian dapat dilaksanakan berasaskan undang-undang yang kukuh.
Pas turut menggesa ahli Parlimennya membawa perkara tersebut ke Dewan Rakyat bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan terhadap undang-undang Persekutuan berkaitan.
Langkah itu bertujuan memberikan ruang yang lebih jelas dan sah kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar lebih ketat terhadap operasi premis perjudian.
Usul tersebut turut menegaskan bahawa Islam jelas melarang perjudian kerana kemudaratannya terhadap individu, keluarga dan masyarakat.
Pada masa sama, Pas berpandangan isu perjudian turut membabitkan kepentingan dasar awam, kesejahteraan sosial serta ketenteraman masyarakat.
Menurut usul itu, kes di Kedah menunjukkan mandat politik kerajaan negeri untuk melaksanakan sesuatu dasar masih tertakluk kepada pembahagian kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, usaha membendung perjudian perlu diteruskan melalui saluran dasar, Parlimen dan pindaan undang-undang yang bersesuaian.
Pas turut menegaskan, usaha berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat Persekutuan dan negeri supaya negeri yang memilih pendekatan lebih tegas atas pertimbangan agama, moral, kebajikan dan kemaslahatan rakyat mempunyai saluran sah untuk melaksanakannya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette
















