KUALA SELANGOR – Seorang petugas perubatan di Klinik Kesihatan Kapar maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Jeram semalam.

Lelaki berusia 57 tahun itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia selepas kenderaan SUV jenis Perodua Ativa yang dipandu seorang anggota agensi keselamatan merempuhnya dalam kejadian pukul 6.11 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Bendahara.

“Semasa di lokasi kejadian, penunggang motosikal itu yang duduk di lorong kiri dilanggar SUV Perodua Ativa dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbabas dan masuk ke dalam parit,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Rakaman kamera litar tertutup milik seorang penduduk di Jeram Kuala Selangor yang menunjukkan Perodua Ativa merempuh motosikal di bahu jalan arah bertentangan.

Azaharudin berkata, pemandu Perodua Ativa yang merupakan lelaki berusia 49 tahun cedera dan dihantar ke sebuah hospital swasta di Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini supaya tampil membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast