Mufti Perlis, Datuk Dr. Asri Zainul Abidin.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen sepatutnya mengajar rakyat untuk mengikut undang-undang, bukan membina bangunan sesuka hati tanpa peraturan dan hak milik.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, rakyat Malaysia berada di negara yang mempunyai undang-undang, bukannya hutan rimba yang tanahnya tidak mempunyai pemilik.

Tambah beliau, sekiranya rumah persendirian pun tidak boleh dibina dengan menceroboh tanah orang lain atau di tanah awam, apatah lagi mahu dibina rumah ibadat agama.

“Adakah dalam dunia ini agama yang mengajar ‘kebas’ tanah orang untuk buat rumah ibadat???! Jika tiada, jangan buat!!” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Mohd Asri yang turut dikenali sebagai Dr MAZA merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang menggesa Barisan Nasional (BN) menilai semula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan kerajaan Perlis merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar.

Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang mendakwa tindakan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN menghormati kepelbagaian kaum dan agama sekiranya diberi peluang mentadbir negara di peringkat Persekutuan.

Sementara itu, Dr MAZA menyifatkan kenyataan Rayer itu menambahkan kebimbangan masyarakat Melayu-Muslim yang menjadi majoriti rakyat negara ini kepada sikap dan tindak tanduk mereka.

“Jika beliau rasa kurang ‘bahagia’ dan seolah-olah tidak dilayan, beliau boleh lihat bagaimana masjid-masjid di negara India yang berusia ratusan tahun bahkan ada yang lebih 1000 tahun dirobohkan atas alasan majoriti rakyat India tidak suka. Itu sahaja.

“Di Malaysia ini tidak demikian. Semua rakyat hidup aman. Betapa banyak kuil yang sah wujud. Tidak disentuh pun oleh majoriti rakyat negara ini,” katanya.

Tambah Dr MAZA, Islam merupakan agama harmoni dan menghormati hak, walaupun dalam situasi tidak bersetuju.

Namun, tegas beliau, Islam juga tidak membenarkan manusia merampas atau mengambil tanah pihak lain tanpa alasan yang sah.

“Juga, jangan sampai keharmonian dan penghormatan hak yang diberikan, menjadikan peluang untuk pihak lain melanggar peraturan, memijak tengkok pihak yang jujur dan memperlekehkan undang-undang,” katanya.

Tambah Dr MAZA, apa yang berlaku di Perlis tiada kaitan dengan parti politik dan beliau juga bukan pendukung mana-mana parti politik.

Sebaliknya, ujar beliau, apa yang berlaku adalah berkenaan pelaksanaan peraturan dan kedaulatan undang-undang.

“YB! Jangan bakar sentimen perkauman atau ketegangan agama. Buruk akibatnya nanti bagi negara ini!!” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here