JASIN – Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh sebuah pikap di simpang tiga Bukit Kepok, Jalan Jasin-Merlimau, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, pekerja kedai telefon, Muhammad Faridz Ramli, 19, meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Merlimau menghala ke Lipat Kajang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah pikap jenis Toyota Hilux dari arah bertentangan dipandu lelaki berusia 35 tahun membelok ke kanan menuju ke Bukit Tengkorak.
“Mangsa yang berasa di laluan lurus dipercayai tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian sisi pikap tersebut,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















