KUALA LUMPUR – Malaysia tidak boleh mengenepikan dan meremehkan penggunaan bahasa kebangsaan meskipun negara sedang mengejar perubahan dan kemajuan teknologi yang berkembang pesat.
Sebaliknya, Malaysia perlu memberi penekanan terhadap penguasaan dan pemartabatan bahasa kebangsaan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan nasional.
Sambil memberi contoh, Anwar berkata, negara-negara maju seperti China, Rusia dan Jepun telah membuktikan kemajuan dalam bidang ekonomi, teknologi dan digital tidak pernah mengabaikan bahasa dan sastera mereka, sebaliknya ia dijadikan sebagai asas pembinaan jati diri dan tamadun.
“Dalam Kerajaan Madani, sementara kita berhempas, bersaing untuk dapatkan yang sebaiknya dari aspek kewangan, (kita) tidak harus meninggalkan satu ciri aspek dalam pembangunan negara yang sangat penting iaitu penguasaan bahasa (kebangsaan) yang baik dan menghargai, memartabatkan karya-karya besar ilmu, sama ada dalam bidang sastera, ekonomi, kewangan termasuklah digital.
“Adalah satu kesilapan besar jika kita mengejar perubahan dan pembangunan dengan mengandaikan aspek-aspek ini boleh diremehkan kerana tidak ada negara hebat meninggalkan ini (perkara ini),” ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hadiah Bahasa Public Bank-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Anwar menyambut baik usaha menghidupkan semula program Hadiah Bahasa yang disokong oleh Public Bank sebagai satu langkah tepat dalam memperkukuh agenda bahasa di negara ini.
Sehubungan itu Anwar berkata, beliau sering mengingatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya tidak mengenepikan aspek kepentingan bahasa kebangsaan meskipun diasak pihak tertentu untuk menguasai bahasa lain dalam pendidikan.
“Walaupun mereka (KPM dan KPT) dicabar, diasak bawa perubahan (terhadap) penguasaan bahasa, hal-hal yang baharu, (tapi) kita mesti jangan meninggalkan aspek yang sangat utama, jati diri, maruah kita, nilai hidup kita.
“Sebab itu saya selalu sebut, kita harus menggapai di langit, (iaitu) teknologi dan pelbagai istilah baharu dalam digital tetapi jangan kita lupa harus mengakar ke bumi soal akhlak, budaya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















