Para pengunjung berjalan melewati Pavilion Israel Aerospace Industries (IAI) yang ditutup semasa edisi ke-55 Pertunjukan Udara Antarabangsa Paris di Lapangan Terbang Paris–Le Bourget, pinggir bandar Paris, pada 16 Jun 2025. Pada tarikh tersebut, Perancis menghalang akses ke ruang pameran lima pengeluar senjata Israel kerana mempamerkan "senjata ofensif", menurut sumber kerajaan Perancis. foto AFP

LE BOURGET – Ketegangan geopolitik menyelubungi hari pembukaan Pertunjukan Udara Paris pada Isnin apabila pihak berkuasa Perancis menutup ruang pameran industri senjata Israel, susulan konflik berterusan di Iran dan Gaza -satu tindakan yang dikecam Israel sebagai “tidak masuk akal”.

Keputusan itu menambahkan lagi ketegangan pada acara industri aeroangkasa terbesar dunia itu, yang turut dibayangi oleh nahas tragik pesawat Boeing 787 Dreamliner milik Air India minggu lalu.

Dinding hitam didirikan di sekeliling lima ruang pameran syarikat pertahanan Israel di Le Bourget, sebuah lapangan terbang di pinggir Paris.

Menurut sumber kerajaan Perancis, syarikat-syarikat ini mempamerkan “senjata ofensif” yang boleh digunakan di Gaza, melanggar perjanjian dengan pihak berkuasa Israel.

Syarikat-syarikat terlibat ialah Israel Aerospace Industries (IAI), Rafael, Uvision, Elbit, dan Aeronautics — pengeluar dron, bom berpandu dan peluru berpandu.

Seorang wakil pameran Israel menulis mesej dengan kapur kuning pada dinding salah satu ruang pameran: “Sistem pertahanan yang tersembunyi ini sedang melindungi negara Israel pada hari ini. Kerajaan Perancis, atas nama diskriminasi, cuba menyembunyikannya daripada anda!”

Perdana Menteri Perancis, Francois Bayrou, mempertahankan keputusan itu dalam satu sidang media di lokasi pameran, dengan berkata: “Pendirian Kerajaan Perancis adalah mudah — tiada senjata ofensif dalam pameran persenjataan ini”.

Beliau menambah, hanya senjata defensif dibenarkan.

Bayrou merujuk konflik yang semakin buruk di Gaza sebagai sebab utama larangan itu.

“Memandangkan keadaan di Gaza… yang amat serius dari sudut kemanusiaan dan keselamatan, Perancis ingin menegaskan senjata ofensif tidak seharusnya dipamerkan dalam ekspo ini,” katanya.

Presiden Israel, Isaac Herzog, menyatakan rasa terkejutnya terhadap penutupan ruang pameran tersebut, menyifatkannya sebagai tindakan “tidak masuk akal” dan menuntut pembetulan segera.

“Syarikat Israel telah menandatangani kontrak dengan penganjur… ini seperti mewujudkan sebuah ghetto Israel,” katanya kepada saluran televisyen Perancis, LCI.

Kementerian Pertahanan Israel pula menyifatkan tindakan itu sebagai “tidak pernah berlaku sebelum ini dan dipengaruhi motif politik serta persaingan komersial.”

“Mereka (Perancis) berselindung di sebalik alasan politik untuk menyingkirkan senjata ofensif Israel dari sebuah pameran antarabangsa — senjata yang bersaing dengan industri Perancis.

“Tindakan ini amat ketara memandangkan keberkesanan teknologi ketenteraan Israel yang terbukti tepat dalam serangan di Iran,” katanya.

Israel telah melancarkan serangan mengejut ke atas tapak ketenteraan dan nuklear Iran pada Jumaat, membunuh beberapa komander dan saintis kanan, yang mencetuskan serangan balas peluru berpandu dari Tehran.

Kehadiran firma-firma Israel di Le Bourget, meskipun lebih kecil berbanding tahun-tahun lalu, sudahpun menjadi isu panas sebelum pertunjukan bermula kerana konflik di Gaza.

Minggu lalu, Mahkamah Perancis menolak permintaan NGO untuk mengharamkan kehadiran syarikat Israel atas alasan “jenayah antarabangsa”.

Ahli politik tempatan dari wilayah Seine-Saint-Denis, tempat penganjuran acara itu, tidak hadir semasa lawatan Bayrou ke pembukaan pameran sebagai tanda protes terhadap kehadiran Israel.

“Tidak pernah dunia sebegitu kacau dan tidak stabil,” kata Bayrou pada satu sesi meja bulat, menyeru negara-negara untuk menangani cabaran “secara bersama, bukan saling bermusuhan”. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast