Peniaga kari kambing dan lauk pauk menunjukkan perangkap lalat yang dipenuhi serangga perosak berkenaan yang semakin tidak terkawal di Medan Selera Simpang Bekoh, Jasin Melaka sejak kira-kira sebulan yang lalu.

JASIN – “Saya terkedu apabila ada pelanggan tiba-tiba memarahi saya menggunakan perkataan bodoh kerana sanggup berniaga makanan dalam persekitaran yang begitu banyak lalat,”.

Itu herdikan diterima peniaga lauk pauk dan kuih udang, Aliza Alias, 40, di Medan Selera Simpang Bekoh di sini, Sabtu lalu mengenai masalah lalat yang semakin tidak terkawal sejak kira-kira empat minggu lalu.

Aliza Alias

Dia adalah antara hampir 2,000 peniaga dan penduduk yang terjejas dengan masalah bermusim itu sejak empat tahun lalu namun terburuk tahun ini yang didakwa berpunca daripada 10 ladang ternakan ayam terletak dalam radius kira-kira tiga kilometer.

“Sejak saya berniaga di sini empat tahun lalu, memang masalah lalat kerap berlaku secara bermusim namun musim kali ini adalah yang terburuk sampaikan penuh lalat dan bising ibarat sarang tebuan.

“Walaupun meja dan lantai semua kerap dicuci dengan cecair pembasmi, ia masih tidak mampu menghalang serangga kotor daripada hinggap di bekas makanan walapun sudah ditutup,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.


Medan Selera Simpang Bekoh, Jasin Melaka yang semakin lengang tiada pelanggan ekoran masalah lalat yang semakin buruk kira-kira empat minggu lalu.

Isu sama dihadapi peniaga kari kambing, Nur Azzar Atan 34, yang mendakwa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih termasuk membeli lilin, cecair pembasmi dan perangkap lalat.

“Sudahlah perniagaan terjejas kerana pelanggan semakin kurang, kami terpaksa menanggung lagi kos lain sedangkan masalah ini bukan berpunca daripada kami.

“Itu belum kira lagi kerugian ditanggung apabila terpaksa menggantikan semula air atau lauk pelanggan yang sudah dihidangkan tapi dimasuki lalat,” tambahnya sambil menggesa pihak berkuasa supaya lebih kerap melakukan semburan pembasmi lalat.


Meja makan yang dipenuhi lalat selepas disembur cecair pembasmi serangga di warung milik Kamalruzzaman di Simpang Bekoh, Jasin.

Bagi peniaga warung, Kamalruzzaman Ahmad, 60, masalah lalat yang semakin tidak terkawal menyebabkan pendapatannya terjejas sehingga hampir 40 peratus dan lebih buruk merosakkan imej perniagaannya.

“Pelbagai langkah pencegahan sudah diambil untuk menghalau lalat namun ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah ini sampaikan pelanggan luar yang lalu ke jalan utama ini beredar apabila melihat terlalu banyak lalat.

Kamalruzzaman Ahmad

“Pelanggan luar mungkin beranggapan kedai saya kotor dan ini pastinya menjejaskan imej perniagaan saya jadi saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu sebelum ramai peniaga terpaksa gulung tikar,” tegasnya lagi.

Harapan sama didesak penduduk, K Poonnee, 40, yang mengakui keadaan itu menjejaskan kehidupan seharian mereka bukan sahaja di rumah bahkan ketika mahu menikmati makanan di luar.

Roslan Mahpol

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Simpang Bekoh Roslan Mahpol dan Sidang Simpang Bekoh, Abd Latif Arshad turut menggesa pihak berkuasa mencari mekanisme lain untuk mengatasi masalah itu.

“Kita percaya, masalah bermusim ini berpunca daripada kerja-kerja pembersihan reban ayam di 10 ladang ternakan sekitar menyebabkan lalat berkenaan lari ke kawasan sekitar sehingga menjejaskan kehidupan penduduk.

“Isu ini juga terus berulang dibimbangi akan menjejaskan ekonomi setempat atau lebih buruk merosakkan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Lalat ini perlu dikawal di puncanya. Perkara ini sering berlaku terutama musim menuai hasil disebabkan selepas ayam dituai, reban akan dibersihkan, dan ini menyebabkan lalat2 akan mencari sumber makanan di tempat2 lain. Kawalan dikedai atau persekitaran tidak akan memberi kesan walau berbagai cara dilakukan. Ini kerana lalat ini boleh menghidu sumber nutrien yg diperlukan sejauh 3 hingga 4 kilometer. Cadangan saya selama dalam kawalan vektor, setiap tempat ternakan ayam diwajibkan membuat kawalan sewaktu fasa maggot. Buat semburan pesticide terhadap longgokan najis ayam semasa fasa maggot. Kawalan pada fasa ini lebih effisien dan jimat berbanding kawalan pada fasa lalat telah dewasa. Beebagai bahan boleh digunakan samada pesticide yg sedia ada, ataupun menggunakan campuran malathion/sumithion dicampur minyak tanah dan minyak diesel. 3 campuran utk menghasilkan pestucide sendiri. Ini adalah pengalaman saya. Terima kadih.

Comments are closed.