MELAKA – Barisan Nasional (BN) dan UMNO sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk bergerak solo sekiranya tidak bersama Pakatan Harapan (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual tahun depan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun berkata, dua kemungkinan itu masih belum dirundingkan namun keputusan pastinya ke arah membawa kebaikan kepada parti.
“Itu saya tak tahu (bersama PH) dan belum dirundingkan tapi kita mesti bersedia yang mana persiapannya boleh jadi apa jua yang memberi kebaikan kepada kita.
“Jika baik bersama, bersamalah, jika baik seorang diri, seorang dirilah. Kita belum buat keputusan lagi atau pun kajian kemungkinan itu masih lagi bersepah-sepah (samar),” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Telok Mas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abd Razak Abd Rahman dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Senator Datuk Mustafa Musa.
Mohamad yang juga Menteri Luar berkata demikian ketika diminta mengulas adakah BN sudah menerima permohonan daripada PH untuk bekerjasama dalam PRN Melaka tahun depan sekali gus membawa semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat ke negeri.
“Banyak negeri lain formulanya yang mana di Melaka lain, Johor lain, Kelantan lain, Kedah lain, termasuklah di Sabah lain walaupun di Sabah kita dah umumkan akan bersama dengan PH dan juga parti tempatan boleh memberi tambah nilai kepada kita untuk menghadapi pilihan raya.
“Jadi bukanlah orang kata one size fits all. Bukan satu formula kita nak guna pakai dan kita sedang mengkaji dengan teliti agar tak tersilap langkah,” katanya.
Melaka mempunyai 28 DUN dengan 21 dimenangi BN, lima PH dan dua Perikatan Nasional (PN) dan untuk rekod, tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijadualkan berakhir pada November tahun depan. – MalaysiaGazette
















