Pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Akbar Zainol Tiba di Mahkamah Sesyen KL hari ini.

KUALA LUMPUR – Pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Akbar Zainol, 43, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan berhubung kemalangan maut yang meragut nyawa tiga sekeluarga di Jalan Sultan Ismail, semalam.

Akbar didakwa memandu lori Black Maria milik JIM secara melulu sehingga menyebabkan kematian Shaik Firdaus Shaik Yahya, 52, serta dua anaknya, Siti Norshazlin Shaik Firdaus, 24, dan Siti Darwisyah Shaik Firdaus, 12.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa dilakukan di Jalan Sultan Ismail kira-kira jam 1 pagi, 19 Ogos lalu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan keempat, Akbar didakwa memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kecederaan terhadap Nor Hayati Rozali, 54, mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pertuduhan kelima pula mendakwa tertuduh gagal mematuhi isyarat lampu merah mengikut Seksyen 79(2) akta sama, yang memperuntukkan denda antara RM300 hingga RM2,000 jika sabit kesalahan.

Tertuduh kelihatan tenang ketika setiap pertuduhan dibacakan terhadap, hanya menjawab ‘tidak mengaku’ untuk setiap lima pertuduhan tersebut.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Syajaratudur Abd Rahman mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain memohon syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.

BACA: Imigresen gantung tugas pemandu lori terbabit kemalangan maut 3 beranak

Antara syarat yang dicadangkan ialah Akbar perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport antarabangsa, jika ada untuk disimpan di mahkamah sehingga kes diputuskan.

Bagaimanapun, peguam Izzat Amir Saharudin yang mewakili Akbar memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan secara lump sum bagi kesemua lima pertuduhan pada kadar minimum.

Beliau turut membantah syarat tambahan berkenaan dengan alasan anak guamnya merupakan penjawat awam dan akan memberikan kerjasama sepanjang prosiding mahkamah.

Dalam hujahnya, Izzat memaklumkan Akbar  sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang masih bersekolah selain menanggung ibunya yang uzur di Kedah.

Difahamkan Akbar juga sudah berkhidmat selama 11 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Jaminan bukan bertujuan menghukum tertuduh sebaliknya hanya untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah, malah anak guam saya masih belum dibuktikan bersalah terhadap semua pertuduhan ini,” ujarnya.

Prosiding berlangsung di hadapan Majistret Aliaa Anwar.

Terdahulu, media yang menunggu di mahkamah sejak kira-kira jam 8 pagi dimaklumkan bahawa kertas siasatan kes berkenaan terlebih dahulu dirujuk kepada Ketua Unit, Bahagian Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Akbar tiba di mahkamah kira-kira jam 12 tengah hari dengan memakai jaket hitam yang menutup kepala dan mukanya serta hanya menundukkan kepala ketika dibawa masuk untuk prosiding. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

3 beranak maut, ibu cedera dirempuh lori Imigresen di Jalan Sultan Ismail

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here