Kenyataan rasmi Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ), Bandar Baru Bangi berhubung isu bayaran RM8.3 juta. 13 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ) menafikan laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang menyatakan pihaknya perlu membayar RM8.3 juta dalam tempoh 14 hari berhubung isu saman kecuaian perubatan.

HIAZ dalam satu kenyataan rasmi menjelaskan, proses perundangan yang dilaporkan media tersebut merupakan tindakan pelaksanaan berhubung kejadian yang berlaku pada 2003, iaitu 22 tahun lalu ketika hospital masih dikenali sebagai Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah.

Menurutnya, kes itu hanya dibawa ke mahkamah pada 2018 dan melibatkan kelahiran bayi pramatang pada minggu ke-26 pada Februari 2003 yang kemudian dirujuk untuk rawatan lanjut di Hospital Putrajaya.

“Berdasarkan rekod, ibu tersebut bersalin pada 14 Jun 2002. Manakala, kejadian bagi kelahiran ini adalah pada 26 Februari 2003, iaitu dua kelahiran dalam tempoh 9 bulan.

“Ibu kepada bayi datang ke HIAZ dengan keadaan bayi pra-matang pada minggu ke-26 (sekitar enam bulan setengah) usia bayi. Pakar yang menemui ibu bayi telah melakukan rawatan profesional yang diperlukan.

“Walau bagaimanapun, atas pertimbangan yang sewajarnya pada waktu itu, pakar berkenaan merujuk ibu bayi ke Hospital Putrajaya. Bayi itu dilahirkan di Hospital Putrajaya, bukan di HIAZ,” kata HIAZ dalam kenyataan itu hari ini.

Pihak HIAZ menegaskan isu yang dibangkitkan hanya melibatkan jumlah hutang yang belum diselesaikan di bawah pengurusan lama dan tidak berkaitan operasi harian hospital sekarang.

“Kini, HIAZ diuruskan oleh pengurusan baharu yang segar, komited, serta berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pihak pengurusan lama sedang berusaha untuk menyelesaikan jumlah penghakiman yang dituntut pihak terlibat.

“Kami difahamkan oleh pihak pengurusan lama sudah membayar sejumlah wang yang signifikan bagi penghakiman ini,” katanya.

HIAZ turut memaklumkan akan mengambil tindakan membantah proses penyitaan yang didakwa dilakukan peguam penuntut kerana terdapat kekhilafan dalam proses itu.

Dalam kenyataan itu, HIAZ menyifatkan laporan akhbar berbahasa Inggeris berhubung isu tersebut sebagai salah lapor yang menyebabkan reputasi buruk HIAZ.

“Pihak HIAZ memandang serius tindakan akhbar itu yang menyiarkan gambar suatu kawasan yang sudah ditutup dengan pita keselamatan sedangkan gambar terbabit bukan penutupan hospital.

“Ini merupakan berita yang salah dan memberikan tanggapan buruk kepada pembaca,” katanya.

Ujar kenyataan itu, akhbar terbabit juga cuba membawa Menteri Kesihatan terlibat dalam tersebut sehingga beliau dilaporkan memberi arahan supaya pesakit yang sedang berada dalam hospital perlu dipindahkan, seperti yang difahami sebilangan pembaca.

Menurut kenyataan itu, pihak HIAZ juga sudah menghubungi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Kementerian Kesihatan bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Operasi HIAZ akan berjalan seperti biasa dan kami berterima kasih kepada semua pihak yang terus percaya dan menyokong kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast