KUALA NERUS – Profesor Dr. Muhammad Ikhwanuddin Abdullah @Polity Ak Kria dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 11 Ogos 2025.
Pelantikan itu dibuat bagi meneruskan agenda universiti dalam memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi, memperkasa inovasi dan meningkatkan kolaborasi strategik bersama industri serta komuniti selaras dengan misi UMT sebagai peneraju kelestarian global khususnya marin.
Sebelum ini beliau menjawat jawatan sebagai Pengarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), UMT menunjukkan kecemerlangan sepanjang perkhidmatannya memperolehi pelbagai pengiktirafan dalam bidang penyelidikan, pengurusan projek berskala besar serta pembangunan bakat penyelidik muda.
Berpengalaman luas dalam bidang akuakultur invertebrat khususnya krustasea seperti ketam dan udang, beliau mempunyai kepakaran dalam biologi pembiakan, larvikultur, pengeluaran benih serta teknologi rumah penetasan.
Penyelidikannya telah menghasilkan pelbagai penemuan yang menyumbang kepada pembangunan industri perikanan dan kelestarian sumber marin negara.
Selain itu, beliau aktif menjalinkan kerjasama penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, melibatkan universiti, agensi kerajaan dan sektor industry, sekali gus memposisikan UMT sebagai rakan strategik utama dalam inovasi maritim dan akuakultur.
Naib Canselor UMT dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Prof. Dr. Muhammad Ikhwanuddin adalah langkah tepat untuk memacu universiti ke arah kecemerlangan penyelidikan dan inovasi.
“Dengan kepakaran dan pengalaman beliau, kita yakin agenda penyelidikan dan inovasi UMT akan lebih dinamik, inklusif dan berdaya saing di peringkat global” katanya. – MalaysiaGazette
















