Simcha Rothman

SYDNEY – Kerajaan Australia membatalkan visa seorang ahli politik sayap kanan Israel pada Isnin menjelang siri jelajah ucapannya.

Tindakan itu bagaimanapun dilabelkan oleh penganjur acara sebagai “sangat antisemitik”.

Simcha Rothman, ahli parti yang merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dijadualkan berucap dalam acara yang dianjurkan oleh Persatuan Yahudi Australia.

Namun, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Tony Burke berkata Australia tidak akan menerima sesiapa yang datang ke negara itu untuk “menyebarkan perpecahan”.

“Jika anda datang ke Australia untuk menyebarkan mesej kebencian dan perpecahan, kami tidak mahu anda di sini.

“Australia akan menjadi sebuah negara di mana semua orang boleh selamat, dan berasa selamat,” katanya.

Sebagai syarat automatik pembatalan visa itu, Rothman tidak dibenarkan ke Australia selama tiga tahun.

Ketua eksekutif Persatuan Yahudi Australia, Robert Gregory, berkata tujuan lawatan Rothman adalah untuk “menunjukkan solidariti dengan komuniti Yahudi Australia, yang sedang berdepan gelombang antisemitisme”.

“Lawatan itu tidak ada kena-mengena dengan peristiwa semasa di Timur Tengah,” katanya di media sosial.

Gregory menyifatkan pembatalan visa Rothman sebagai “tindakan yang sangat antisemitik”, sambil menuduh kerajaan Australia “terobsesi” menyasarkan komuniti Yahudi dan Israel. -AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast