JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mahu gejala buli dibendung dengan langkah penguatkuasaan yang lebih ketat.
“Gejala buli harus dibendung dan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan setiap institusi pendidikan adalah kawasan yang selamat bagi kanak-kanak,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berangkat melawat Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, di Hospital Pakar Puteri KPJ di sini hari ini.
Izzul Islam dilaporkan menjadi mangsa buli dan mengalami gegaran otak sehingga menjejaskan kehidupannya.
Turut mengiringi Tunku Mahkota Ismail, Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman.
Semalam, ibu kanak-kanak tersebut, Siti Suhana Misdi, 39, berkata, anaknya kini sudah mula mengalami kemerosotan daya ingatan dipercayai akibat dua kejadian buli baru-baru ini.
“Sebelum ini dia memang cergas, aktif dan suka belajar namun kini kerap lupa dan hilang fokus. Sekiranya saya memintanya melakukan sesuatu dia lupa untuk melakukannya dan bertanya semula kepada saya.
“Misalnya saya menyuruhnya mengambil kain di dapur, dia akan ke dapur namun kemudian lupa tujuannya ke situ, perkara seumpama itu kerap berlaku kebelakangan ini.
“Kami khuatir masalah ini menjurus kepada memory lost (hilang ingatan) yang serius,” ujar suri rumah itu yang sudah membuat laporan polis kejadian tersebut.
Kelmarin, portal ini melaporkan Izzul Islam mengalami masalah gegaran otak dipercayai selepas menjadi mangsa buli.
Siti Suhana berkata, anak lelakinya itu dipukul murid darjah enam pada 21 Februari lalu kerana pelaku berusia 12 tahun tidak berpuas hati dengan anak perempuan iaitu kakak mangsa menolak cintanya.
Menurutnya, kejadian berlaku pada pukul 5 petang di sebuah sekolah agama apabila anaknya ditendang, dihentak kepala bahagian kiri dan kanan serta dipaksa bogel.
Akibat kejadian itu, anak keempat daripada enam beradik itu dimasukkan ke hospital kerana kerap mengadu sakit kepala hingga keadaan tubuhnya menjadi lemah.
Anaknya disahkan pihak hospital mengalami gegaran otak dan dia hanya dimaklumkan kejadian itu oleh anak perempuannya pada 24 Mac lalu.
Lebih malang anaknya juga menjadi mangsa buli kali kedua pada 7 Ogos lalu di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai di sini.- MalaysiaGazette
















