KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa papan tanda Sekretariat Kerajaan Perpaduan di tingkat 26, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, telah pun diturunkan.
Dakwanya, UMNO semakin alergik dengan logo DAP.
Malah, katanya, pemimpin UMNO ketika ini sendiri kuat `menembak kaki sendiri’, dan sering mengkritik Pakatan Harapan (PH) secara terbuka.
Terdahulu, Mohd Puad menjelaskan mengapa beliau kini lantang mengkritik UMNO sehinggakan ada yang mempersoalkan haknya berbuat demikian memandangkan beliau bukan lagi ahli UMNO.
Kenapa pula saya tidak ada hak? Bagaimana hak bebas bersuara? Mengkritik adalah hak individu. Bila saya keluar UMNO mestilah ada sebab musababnya.
“Atas sebab sebab itulah saya terus mengkritik UMNO. Bahkan ketika di dalam UMNO dan menjadi ahli MKT saya sering mengkritik UMNO.
“Tanya kawan kawan MKT, kalau mesyuarat MKT saya orang pertama yang akan bercakap.
“Bahkan Asyraf (Datuk Dr Asyraf Wajdi) pernah menegur saya melalui media sosial supaya jangan tembak kaki sendiri.
“Padahal saya hanya menegur Rafizi sebagai Raja Formula yang gagal. Rafizi menteri kerajaan perpaduan ketika itu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Mohd Puad menjelaskan, beliau keluar UMNO ketika parti tersebut sedang kembali kuat dan menuju puncaknya.
“Saya tidak rugi apa apa. Saya tidak lagi relevan dalam UMNO.
“I am no longer fit for UMNO”. Baik keluar dan terus mengkritik apa yang tidak kena di ketika UMNO sedang bangkit,” katanya.
Sementara itu, ujarnya, UMNO adalah wadah yang baik untuk orang Melayu, sama seperti Pas.
Namun, dakwanya, pemimpin UMNO bermasalah, tidak konsisten dan memberi muka kepada yang pandai bermuka-muka.
“Kerana pemimpin UMNO juga suka bermuka muka.
“Akhirnya kemaraan UMNO tidak akan sustainable. Cuma sementara.
“Percayalah pemilihan akan datang UMNO akan dikuasai oleh mereka yang kaya raya, kembali guna politik wang. “Business first, perjuangan UMNO second”,” katanya. – MalaysiaGazette
















