PUTRAJAYA – Insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik yang berlaku baru-baru ini memperlihatkan terdapat dalam kalangan rakyat tidak sedar tentang kepentingan kedudukan bendera sebagai simbol kedaulatan dan kemerdekaan negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kedudukan bendera tidak sepatutnya diremehkan oleh mana-mana individu atau pihak kerana ia sebahagian daripada bukti kebebasan negara daripada penjajah.
“Hari ini ada rakyat mempamerkan bendera terbalik dan mengatakan ia satu kesilapan dan perlu dimaafkan dan tidak harus diperbesarkan.
“Peristiwa ini memperlihatkan kita tidak sedar betapa tingginya kedudukan bendera negara. Ia simbol kedaulatan negara merdeka, kemuliaannya perlu dipertahankan, hatta perlu menggadai nyawa sekalipun,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan penutup Dialog Merdeka: Kepimpinan Malaysia dalam menghadapi krisis di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.
Jelasnya, perkara pertama yang ditukar ketika negara mencapai kemerdekaan adalah bendera.
Selain itu Dr. Mahathir berkata, kedudukan bendera Malaysia terbukti tinggi apabila Raja-Raja berdiri tegak apabila ia dikibarkan beserta lagu kebangsaan.
“(Semasa) Negara merdeka (perkara) pertama yang perlu membuat adalah pasang bendera baharu. Mungkin ada di kalangan kita tidak tahu atau sudah lupa apabila Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘Merdeka’ tiga kali bendera Union Jack diturunkan diganti bendera persekutuan Tanah Melayu. Ini bermakna bendera simbol melengkapkan kemerdekaan itu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir yang ditanya sama ada beliau mendapat jemputan untuk hadir Sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini berkata, sehingga kini beliau masih belum menerima jemputan namun tidak berkecil hati.
Sebagai rakyat Malaysia, beliau berpendirian sesiapa sekalipun berhak hadir dalam acara sambutan tersebut.
“Nak jemput atau tidak itu hak kerajaan. Saya setakat ini tidak dijemput, tapi saya tidak harap nak dijemput. Sama ada saya (akan) hadir atau tidak itu (hak) saya sebagai orang ramai.
“Saya belum buat keputusan apa-apa (nak hadir sambutan kemerdekaan),” tambahnya. – MalaysiaGazette















