Tular sebuah kilang dalam kawasan perindustrian di Kulai memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik

JOHOR BAHRU – Isu Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang terbalik di sebuah kilang di Kulai tidak seharusnya dijadikan bahan provokasi yang merosakkan keharmonian masyarakat.

Penyelaras Majlis Perhubungan Negeri Johor Parti Wawasan Negara, Datuk Zulkifli Bujang berkata, sebaliknya perlu dijadikan peringatan bahawa setiap pihak yang mengibarkan bendera wajib mengetahui tatacara pemasangannya dan memahami nilai yang dilambangkannya.

“Negara sudah 69 tahun merdeka justeru kita wajar bertanya, sampai bilakah kecuaian seperti ini mahu terus dianggap sekadar ‘kesilapan’ atau ‘kekeliruan’?

“Seorang pemimpin veteran DAP dilaporkan berpandangan bahawa denda antara RM200 hingga RM1,000 sudah memadai dan tindakan menutup sementara premis berkenaan adalah keterlaluan.

Penguat Kuasa MPKu menutup serta merta sebuah kilang alat ganti kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik

“Bagi kami, persoalan pokok bukan sekadar jumlah denda atau bentuk hukuman. Persoalannya ialah mengapa kejadian yang menyentuh lambang kedaulatan negara dan maruah negeri masih berulang serta mudah dianggap sebagai kesalahan kecil,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, Wawasan Johor memandang serius kejadian tersebut kerana Jalur Gemilang dan bendera Johor melambangkan kedaulatan dan maruah negara serta negeri serta kehormatan rakyatnya.

Setiap premis, organisasi dan individu katanya, bertanggungjawab memastikan kedua-duanya dipasang dengan betul serta dihormati sebagaimana sewajarnya.

Pihaknya menyokong siasatan pihak berkuasa yang telus, adil dan tegas berasaskan undang-undang.

Tegasnya, pada masa yang sama, penghormatan terhadap bendera negara dan negeri tidak boleh dikompromikan.

Pihak MPKu mengeluarkan notis penutupan sementara sebuah kilang kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik

Jelasnya, patriotisme bukan sekadar mengibarkan bendera tetapi adalah kesediaan untuk memahami, menghormati dan mempertahankan kedaulatan, maruah serta keharmonian negara.

Kelmarin polis menahan seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan kerana terlibat memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang alat ganti di Pusat Perindustrian Indahpura, di sini.

Terdahulu tular foto memaparkan Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang secara terbalik depan kilang itu hingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Susulan itu Majlis Perbandaran Kulai Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menutup serta merta operasi kilang berkenaan kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dilaporkan berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pihak pengurusan syarikat bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian yang menjejaskan simbol kedaulatan dan maruah negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here