Tangkap layar memaparkan mangsa ditutup dengan plastik hitam dan pihak polis berada di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan kemalangan di Jalan Sultan Ismail.

KUALA LUMPUR – Tiga beranak yang maut termasuk seorang wanita yang cedera selepas dirempuh sebuah lori milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, awal pagi tadi dipercayai sedang bercuti di ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati mereka sekeluarga berasal dari Kampar, Perak.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat pastikan lagi sejak bila mereka berada di sini (Kuala Lumpur).

“Isteri mangsa sedang berada di zon merah, dalam keadaan kritikal,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau memberitahu, difahamkan terdapat seorang lagi anak mangsa yang tidak mengikuti percutian keluarganya di Kuala Lumpur ketika kejadian.

Tambah Mohd Zamzuri, ketika ini kedua-dua pemandu lori berusia 43 tahun dan pemandu Proton Saga berumur 50 tahun sedang dalam proses reman.

“Reman dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” jelasnya.

Sementara itu, Tinjauan MalaysiaGazette di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur mendapati pengamal media telah mula berkumpul sejak jam 9 pagi tadi.

Difahamkan, beberapa ahli keluarga mangsa turut tiba di pekarangan IPFN pada jam 11.27 pagi dan dimaklumkan proses bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa sedang berjalan.

Difahamkan beberapa ahli keluarga mangsa turut tiba di perkarangan IPFN pada jam 11.27 pagi tadi.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan, tiga beranak maut selepas dilanggar sebuah lori JIM KL yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, mangsa yang maut terdiri daripada seorang lelaki berusia 53 tahun, serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.

Seorang wanita berusia 55 tahun yang juga isteri dan ibu kepada mangsa cedera dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mohd. Zamzuri dilaporkan berkata, kemalangan tersebut membabitkan lori Isuzu Black Maria JIM KL tanpa muatan, dua kereta dan empat pejalan kaki.

“Siasatan awal mendapati, lori berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT) selepas operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dijalankan di kawasan berkenaan.

“Lori tersebut dipercayai telah memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah dalam keadaan lampu beacon dan siren diaktifkan.

“Pada masa sama, sebuah Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 50 tahun sedang bergerak lurus melalui persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.

“Pemandu Proton Saga itu dipercayai tidak sempat mengelak sebelum kenderaannya bertembung dengan lori tersebut di tengah persimpangan,” ujarnya.

Tambah beliau, impak pelanggaran itu menyebabkan lori terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh empat pejalan kaki daripada sebuah keluarga serta sebuah kenderaan Inokom Matrix yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here