JOHOR BAHRU – Seorang pengasuh wanita mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini masing-masing atas tuduhan mengabaikan seorang bayi perempuan 12 bulan serta melupuskan mayatnya, bulan lalu.
Tertuduh, Goh Mui Leng, 46, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di kedua-dua mahkamah itu.
Di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi berkenaan didakwa telah mengabaikannya di sebuah rumah dekat Jalan Hijauan 2, Horizon Hills, Iskandar Puteri di sini, 20 Julai lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Sementara di hadapan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, tertuduh didakwa melupuskan mayat bayi perempuan itu dengan niat hendak menyembunyikan kematiannya dan menyebabkan tertuduh terlepas dari hukuman.
Bagi perbuatan yang dilakukan di sekitar kawasan Jalan Mohd Salleh, Pekan Nenas, Pontian, kira-kira pukul 8 malam 21 Julai lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zuhainie Zull Kafli dan Shamira Mohd Luthfi Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam Ismail Hafiz Iskandar Shah.
Dalam rayuan jaminan, Ismail Hafiz memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya adalah seorang ibu tunggal dengan dua anak masih bersekolah masing-masing berusia 10 dan 12 tahun.
“Tertuduh juga menanggung seorang ibu yang uzur dan berusia 64 tahun,” katanya.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan serta dua syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Oktober depan.- MalaysiaGazette
















