PASIR GUDANG- Perbuatan memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik tidak boleh dibiarkan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata, mengibarkan bendera dengan cara yang salah seolah-olah memperlekehkan simbol negeri dan negara serta perbuatan itu amat mendukacitakan.
“Walau begitu, saya ingin menegaskan isu ini tidak boleh dibiarkan tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh leka atau terperangkap dengan hal ini sehingga melupakan agenda besar kemerdekaan.
“Undang-undang mesti ditegakkan, kesilapan mesti diperbetulkan. Namun, semangat merdeka menuntut kita untuk memandang jauh ke hadapan, bagaimana Johor dan Malaysia dapat terus maju, makmur dan dihormati di mata dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dalam Majlis Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Tahun 2025 di Laman Xtreme Pasir Gudang di sini hari ini.
Sebelum ini Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengarahkan klinik gigi dan pasar raya mini di Pekan Nanas, Pontian ditutup 30 hari kerana memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di premis masing-masing.
Onn Hafiz berkata, bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan, pihaknya menyeru semua rakyat Johor untuk menjayakan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
“Biarlah setiap rumah, sekolah, kampung, pejabat dan premis perniagaan dihiasi bendera kebanggaan kita. Biar bumi Johor ini menjadi lautan merah, putih, biru dan kuning, tanda cinta yang tidak berbelah bahagi kepada tanah air,” ujarnya.
Mengibarkan bendera katanya, bukan hanya simbol namun harus menjadi semangat yang membakar jiwa rakyat untuk terus berbakti, bekerja keras, dan menyumbang kepada kejayaan negeri serta negara.
“Dengan semangat inilah Johor akan terus bangkit dan Malaysia akan terus disegani,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, jiwa merdeka yang sebenar bukan hanya bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi bebas daripada belenggu pemikiran negatif, sikap berpecah belah dan prejudis.
Jiwa merdeka jelasnya, adalah keteguhan rakyat untuk terus bersatu hati, memupuk integrasi sosial, memperkukuh ekonomi dan membina sebuah masyarakat yang harmoni, progresif serta berdaya saing.- MalaysiaGazette
















