Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM225.3 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram, ketika Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 OGOS 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dimaklumkan bahawa wang RM1 juta disumbangkan kepada akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas syarikat yang diasaskannya memperoleh tender di bawah Program Janawibawa.

Lian Tan Chuan, 55, berkata, oleh yang demikian, beliau bersetuju Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tidak mengetahui wang telah dimasukkan ke dalam akaun parti tersebut pada 2021.

Menjawab soalan balas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin, saksi pendakwaan ke-21 itu bersetuju bahawa bekas Perdana Menteri tidak pernah memohon agar sumbangan diberikan untuk dirinya mahupun Bersatu.

Pada perbicaraan lalu, pengarah Metrasys Sdn. Bhd itu yang dikenali sebagai TC Lian berkata, beliau memberi sumbangan kerana memenuhi permintaan seorang ahli perniagaan, Datuk Azman Yusoff.

Saksi berkata, beliau percaya Muhyiddin berperanan membantu sebuah lagi syarikatnya, Nepturis Sdn. Bhd. memperoleh tender prakelayakan bagi melaksanakan projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor.

Beliau menyatakan demikian pada perbicaraan terhadap Muhyiddin yang menghadapi tujuh pertuduhan iaitu empat pertuduhan berkaitan suapan dan tiga pertuduhan AMLA melibatkan Program Janawibawa.

TC Lian selanjutnya berkata, beliau tidak mengenali Muhyiddin secara peribadi apatah lagi untuk mengelirukan Muhyiddin ketika Nepturis memohon projek pembinaan IPD Klang Utara.

Menurutnya, tiada perbincangan dilakukan dengan Muhyiddin ketika beliau mengarahkan salah seorang pengarah Nepturis, Aliza Abdul Malik mengeluarkan surat minat bagi lima buah syarikatnya untuk memohon projek tersebut.

Saksi juga tidak bersetuju dengan soalan peguam bahawa beliau menyembunyikan maklumat syarikat dengan enggan mendedahkannya ketika memohon projek berkenaan.

Amer Hamzah turut mencadangkan bahawa TC Lian telah membuat perancangan teliti dengan meletakkan dua pengarah dalam Nepturis bagi mendapat status Bumiputera selain menggunakan syarikat milik Azman sebagai perunding untuk memohon projek kerajaan, namun soalan itu tidak dipersetujui saksi.

Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta.

Ia berkaitan Projek Janawibawa melibatkan empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here