Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

 

 

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan berkaitan ugutan video lucah yang diterima Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya telah menerima laporan polis berkaitan ugutan itu.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan bagi mengesan penghantar emel berkenaan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan (ugutan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan beliau menerima ugutan melalui emel daripada individu tidak dikenali yang mendakwa memiliki video lucah kononnya melibatkan dirinya bersama seorang lelaki.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, beliau juga menerima mesej daripada Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, yang turut diugut dengan video serupa bersama lelaki sama.

Ujarnya, pejabat Ahli Parlimen Subang itu lebih tegas apabila terus membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Rafizi berkata, emel itu menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,000) bagi mengelakkan video berkenaan disebarkan.

Malah, ia turut disertakan dengan tangkap layar video serta kod QR untuk pemindahan wang dan tangkap layar itu kelihatan kabur dengan latar sebuah bilik dan katil, namun wajahnya seolah-olah telah disunting pada imej berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast