KUALA LUMPUR – Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa, Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia, kembali beroperasi semula pada 23 September lalu.
Kementerian Luar berkata, pembukaan semula kedutaan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala yang mesra dan erat dengan Ethiopia.
Ia juga menjadi pemangkin untuk meneroka peluang-peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, terutamanya dalam perdagangan, pelaburan dan kesalinghubungan antara rakyat.
“Pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa, yang turut menempatkan Ibu Pejabat Kesatuan Afrika, akan membuka peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Afrika,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Wisma Putra, langkah itu diyakini dapat memperluas capaian diplomatik Malaysia di benua Afrika, selain memberi nilai tambah kepada agenda kepentingan ekonomi dan politik negara di rantau tersebut.
Selain itu, kedutaan berkenaan juga akan memainkan peranan dalam memberi perlindungan konsular kepada rakyat Malaysia yang berada di Ethiopia serta negara-negara sekitarnya, ujarnya.
Kedutaan Besar Malaysia akan beroperasi dari alamat sementara iaitu Hotel Sheraton Addis, Peti Surat 6002, Jalan Taitu, Addis Ababa, Ethiopia.
Orang ramai boleh menghubungi nombor telefon menerusi +251 115171717 (samb. 349) manakala -emel rasmi kedutaan ialah [email protected] untuk urusan rasmi. – MalaysiaGazette
















