Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

BANGI – UMNO mendesak kerajaan dan masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan terhadap rejim Zionis bagi memastikan pembebasan segera sukarelawan kemanusiaan, termasuk rakyat Malaysia, yang ditahan dalam misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan rejim Israel menahan sukarelawan yang membawa bantuan kemanusiaan adalah perbuatan zalim, bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan sejagat.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita harapkan bukan sahaja doa yang beriringan daripada mereka, tetapi juga supaya kerajaan kita, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telahpun mengeluarkan kenyataan yang keras untuk mendesak masyarakat antarabangsa supaya bukan sahaja mengutuk tetapi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat kita yang ditahan.

“Ia agar mereka tidak dilakukan dalam apa juga bentuk keganasan, kezaliman, penindasan, bentuk fizikal, mental dan kita mahu mereka dibebaskan dengan segera,” ujarnya dalam sidang media selepas menghadiri Anugerah Kecemerlangan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 2025, hari ini.

Sementara itu, Asyraf berkata, negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel juga wajar bangkit mengutuk keras kekejaman yang dilakukan rejim Zionis.

“Kita minta supaya semua negara-negara yang ada hubungan diplomatik yang dianggap sebagai sekutu kepada Israel mengutuk keras kekejaman yang dilakukan kerana ini jelas melanggar peraturan antarabangsa dan juga soal kemanusiaan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sukarelawan yang ditahan tidak membawa senjata, sebaliknya mengangkut bantuan penting termasuk makanan, ubat-ubatan dan susu bayi untuk rakyat Palestin yang sedang kebuluran.

“Mereka hanya membawa segala bekalan, perubatan, susu bayi yang diperlukan oleh rakyat yang sedang kebuluran, yang sedang diganyang oleh rejim Zionis Israel,” katanya lagi.

Ditanya samada isu ini akan dibawa ke meja mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akam diadakan esok, Asyraf Wajdi berkata: “Sudah tentu,”.

Awal hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengecam tindakan Israel menyekat misi bantuan GSF ke Gaza yang membawa sukarelawan serta bekalan penting untuk rakyat Palestin.

Beliau berkata, tindakan Israel itu jelas memperlihatkan wajah sebenar rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang, nyawa manusia, dan sanggup menindas usaha kemanusiaan.

Setakat jam 11 pagi ini, seramai 12 daripada 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka dipintas semalam ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.

Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), setakat ini, sembilan lagi tidak diketahui status mereka manakala dua lagi masih dilihat meneruskan pelayaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast